Guru KAFA syukur dihargai KN

Oleh: ZULIANA AZIZ

SEBERANG JAYA – “Saya berasa gembira dengan sumbangan ini. Pada pendapat saya, seeloknya latihan atau
kursus diberi kepada semua guru KAFA yang baru dilantik sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian di
sekolah,” begitulah perungkapan yang diluahkan oleh Rosnani Shafie, salah seorang guru KAFA di Sekolah Bukit
Indera Muda ketika ditemui di Majlis Penyampaian Anugerah Khas Kerajaan Negeri kepada Guru-guru KAFA Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sumbangan yang diberi oleh Kerajaan Negeri merupakan penghargaan kepada guru-guru KAFA yang telah menabur bakti bagi memperkasakan umat Islam di negeri ini.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mewujudkan program seperti ini di mana guru-guru KAFA dihargai dan diharapkan menjadi pembakar semangat bagi mencorakkan generasi muda masa depan dalam mendalami agama Islam yang suci lagi murni.

Semangat para guru dalam mendidik anak-anak bangsa harus diberi penghormatan dan begitu dikagumi walaupun terdapat kekurangan dalam penyediaan infrastruktur buat masa kini. Namun, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memperbaiki infrastruktur yang ada pada masa hadapan agar dapat menjamin keselesaan tenaga pengajar dan murid-murid sekolah.

RAMLI Hamzah.
RAMLI Hamzah.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ustaz Ramli Hamzah, 50, seorang guru KAFA di Madrasah Nahdatul Hasanah, Jalan Tuna yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun sebagai tenaga pengajar.

“Saya berharap agar infrastruktur dapat dipertingkatkan supaya lebih kondusif dan bagi memudahkan murid-murid untuk menerima ajaran yang disampaikan,” katanya.

“Saya ingin mencadangkan supaya menyediakan satu perjawatan iaitu Penyelaras untuk setiap sekolah KAFA bagi memantapkan lagi pengurusan di semua sekolah KAFA di Pulau Pinang,” ujar seorang lagi guru KAFA, Ribhiyah Bakar ketika ditemui Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Majlis yang diadakan bagi menambah imbuhan yang diterima guru KAFA daripada RM400 kepada RM600 seorang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman.

ROSNANI Shafie (dua dari kanan) dan Ribhiyah Bakar (dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama barisan guru KAFA Sekolah Bukit Indera Muda, di sini.
ROSNANI Shafie (dua dari kanan) dan Ribhiyah Bakar (dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama barisan guru KAFA Sekolah Bukit Indera
Muda, di sini.