TELOK AYER TAWAR – Seramai 1,600 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari 217 premis KAFA di negeri ini bakal menerima bayaran elaun tambahan selama setahun melibatkan peruntukan RM25,090,200.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata dengan penambahan tersebut jumlah bayaan elaun yang diterima oleh guru-guru KAFA meningkat kepada RM RM1,300 (guru) dan RM1,350 (guru besar) berbanding RM1,100 sebelum ini.
“Peruntukan tambahan ini sebahagiannya adalah dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM3,970,200 melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP).
“Baki RM21,120,000 adalah daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” ujarnya semasa menyempurnakan Majlis Ikrar Guru KAFA Lantikan Baharu 1/2024 dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali serta beberapa pengurusan tertinggi.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan terdapat juga beberapa premis KAFA yang mengambil inisiatif melaksanakan sesi pengajaran selama lima hari seminggu dengan bayaran elaun tambahan ditanggung oleh jemaah pengurusan sekolah.
“Kerajaan Negeri sentiasa cakna akan kepentingan pendidikan asas agama terutamanya penglibatan murid-murid dalam program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Sehubungan itu, peningkatan elaun dan sokongan tambahan kepada guru-guru KAFA adalah bertujuan memperkukuhkan sistem pendidikan Islam di peringkat negeri sekali gus memberi dorongan kepada para pendidik untuk terus memberikan pengajaran yang berkualiti demi kepentingan generasi masa depan,” jelasnya lagi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT