Guru main peranan penting pacu pendidikan digital, realisasi negara maju

Admin
10e10f2a 24ca 467a b0ae cb52c7113d61

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa Penganugerahan Apresiasi Pendidikan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidik mampu menjadi penyuntik semangat serta pencetus azam untuk warga guru terus berkhidmat dengan lebih berintegriti.

Menurut beliau, perkara tersebut turut mampu menjadi suri teladan kepada rakan-rakan yang lain khususnya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Syabas saya ucapkan kepada 424 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang iaitu lima pengetua, sembilan guru besar, tujuh pegawai pendidikan daerah (PPD) dan 403 guru.

“Seorang pendidik merupakan penggerak atau pemangkin dalam pembentukan generasi yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing dan beretika.

“Malah, peranan guru juga adalah sebagai pemimpin dalam memanfaatkan teknologi digital membabitkan proses pembelajaran menjadi peri penting dalam merealisasikan misi negara untuk menjadi sebuah negara maju, beradab dan inklusif,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Daerah Timur Laut (DTL) di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Said Hussain; Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Mohamad Zawawi Ahmad, tokoh-tokoh serta guru-guru terlibat.

Kon Yeow dalam pada itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat komited dalam membangunkan Pendidikan Digital melalui Pelan Strategik Pendigitalan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) 2021-2025.

“Antara inisiatif utama yang digariskan adalah Peningkatan Infrastruktur Digital, Latihan dan Pembangunan Guru,  Pembangunan Kandungan Digital,  Kerjasama dengan Industri dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Umumnya, kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan Pulau Pinang terus maju dalam bidang pendidikan digital dan seterusnya melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat global.

“Selepas pandemik COVID-19, pendidikan juga tidak terkecuali bergerak ke arah digital, dan di Pulau Pinang, kita lihat PPD dan JPN bersama rakan-rakan strategik negeri seiringan memacu pendidikan digital,” jelasnya.

Mengakhiri ucapan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap agar semua warga pendidik terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menjadi agen perubahan demi melahirkan generasi madani yang diimpikan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : DARWINA MOHD. DAUD