PERAI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan saguhati berjumlah RM202,000 kepada guru-guru takmir di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan dan Dakwah MAINPP, Mohd. Tuah Ismail, saguhati tersebut akan dibayar kepada guru-guru takmir seluruh Pulau Pinang sebelum hujung bulan Disember ini.
“(Pemberian saguhati) adalah sebagai menghargai jasa guru-guru takmir di Pulau Pinang dalam mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri.
“Mereka juga berperanan memberi kefahaman kepadaa masyarakat setempat dan merungkai kekhilafan atau salah anggap dalam pelbagai aspek termasuk berkaitan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan kini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Pemantapan Guru Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2021 dekat sini pagi ini.
Mohd. Tuah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong hadir menggantikan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
Mufti Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria antara yang turut serta dalam majlis berkaitan di sini.
Difahamkan, bagi tahun 2021 ini, MAINPP telah menyalurkan sejumlah RM518,000 bertujuan untuk menganjurkan program dan aktiviti melibatkan guru-guru takmir di negeri ini.
Sementara itu, dalam majlis sama, Mohd. Tuah turut memaklumkan bahawa pihak MAINPP bakal mengadakan Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) bagi peringkat menengah mulai tahun hadapan.
“Perkara ini telah diselaraskan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) bagi memudahkan urusan dari segi pendaftaran, pemantauan dan pembelajaran,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS