SUNGAI PINANG – Sebagai salah satu inisiatif dalam perkukuhkan lagi penguatkuasaan dasar pengasingan sisa di punca, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menyediakan Hub 3R @Taman Serina sebagai hab utama kitar semula.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, Hub 3R @ Taman Serina merupakan inisiatif Ahli Majlis MBPP bagi merealisasikan pelan jangka masa panjang dasar tersebut.
“Usaha pihak MBPP ini dilihat bertepatan dengan Visi Penang2030 ke arah negeri hijau pertama di Malaysia yang tertumpu pada pencapaian dan kualiti hidup yang tinggi.
“Justeru, dengan adanya pusat pengumpulan kitar semula seperti ini, maka rakyat di negeri ini wajar memainkan peranan dengan melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca bermula hari ini di rumah.
“Di samping meminimumkan sampah-sarap ke dalam tong sampah besar, barangan kitar semula yang telah diasingkan juga boleh dijadikan pendapatan tambahan serta dimanfaatkan sebagai perbelanjaan seharian,” ujarnya semasa menyempurnakan acara perasmian Hub 3R @Taman Serina dekat sini baru-bari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta Ahli-ahli Majlis MBPP dan barisan ‘Wira Kuning’.
Sementara itu, Rajendran menyeru rakyat di serata negeri khususnya di bahagian Pulau untuk sama-sama merealisasikan dasar pengasingan sisa di punca yang telah berkuat kuasa semula pada Julai lalu.
“Sehingga kini, saya mendapati tidak ramai yang mengetahui tentang penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca sehingga perlu mengeluarkan sebanyak 50 notis ketidakpatuhan.
“Adalah penting bagi meningkatkan kadar kitar semula memandangkan tapak pelupusan sampah yang tinggal di Pulau Pinang hanya di Pulau Burung dan sudah hampir penuh.
“Bahkan, pihak MBPP juga melaksanakan alternatif lain bagi menggalakkan lagi pengasingan sisa di punca ini, sebagai contoh pemberian kit kitar semula bagi perumahan kos rendah dan penyediaan tong-tong kitar semula di setiap kawasan.
“Oleh itu, adalah diharapkan (penguatkuasaan semula) ini berjaya ditambah baik dari semasa ke semasa dalam melestarikan alam sekitar di negeri ini ke arah kehidupan yang lebih mampan,” jelasnya lanjut.
Difahamkan, Hub 3R @Taman Serina telah mula beroperasi pada tahun 2022 dan diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP. Semua sisa-sisa buangan yang dikutip melalui proses pengasingan adalah mengikut kategori seperti botol plastik, kertas, kotak, bekas minuman, tertra pek, dan banyak lagi.
Serentak majlis sama, Siew Khim turut berkesempatan menyempurnakan gimik perasmian Hub 3R @Taman Serina dengan mengasingkan barangan kitar semula mengikut kategori barangan.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN