Hab Pendidikan AI di Tech Dome, galakkan aktiviti R&D – Boo Woi

photo 2024 08 14 12 28 38

MENDENGAR istilah kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), mungkin ramai lebih mengetahui tentang aplikasi pada media sosial dalam menyunting gambar dan video.

Sebenarnya, AI lebih daripada itu dan atas sebab tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang (TDP), Khoo Boo Woi mengandaikan bahawa AI adalah kepintaran yang hampir dengan otak manusia.

Keinginan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORZIS untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AI membawa kami untuk menemu bual Boo Woi dan juga kewujudan hab pendidikan AI di TDP.

Menurut Boo Woi, objektif utama penubuhan hab tersebut pada tahun 2021 adalah untuk memberi pendedahan yang luas tentang AI kepada pelajar, pendidik dan masyarakat umum.

“TDP menyediakan bahan pendidikan dan sumber pembelajaran berkualiti tinggi, selain itu, (dengan penubuhan hab ini) mahu menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkasa bakat tempatan melalui program latihan dan pembangunan kemahiran.

 

“Hab ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Artificial Intelligence Trainer GOTT-AIT-01, kit pembelajaran CocoPiQuarky, EDU PICO AI Kit dan peralatan AI seperti Intel GETI AI.

photo 2024 08 14 12 28 36

“Intel GETI adalah alat yang amat bermanfaat kerana ia memudahkan dan mempercepatkan pembangunan model AI, menjadikan teknologi AI lebih mudah diakses oleh semua pihak.

 

“Alat ini juga menyediakan perkakas yang kukuh untuk mengoptimumkan prestasi, memastikan aplikasi AI berfungsi dengan cekap pada perkakasan Intel dan dengan Intel GETI, latihan dan inferens model AI dapat dilakukan sambil membawa teknologi AI ke mana-mana,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Boo Woi memberitahu bahawa pengetahuan mengenai AI perlu dipelajari sekarang, tidak perlu lagi tunggu lima atau 10 tahun akan datang atau kita akan ketinggalan.

“Perdana Menteri kita juga sebelum ini ada buat pelancaran besar-besaran program AI agar rakyat memahami lebih mendalam mengenai manfaat dan teknologi ini.

“Kita ambil contoh di kilang, kalau sebelum ini pemeriksaan kecacatan pada produk dilakukan oleh operator, kini sedikit demi sedikit proses tersebut diambil alih melalui imbasan AI.

“Mahu tidak mahu, kita perlu perkasakan kemahiran individu untuk kuasai AI dan saya yakin AI akan banyak memasuki segenap bidang pekerjaan,” katanya lagi.

photo 2024 08 14 12 28 37

Lebih spesifik, jelas Boo Woi, jika sebelum ini pengecaman sesuatu objek dilakukan melalui imbasan fizikal dan jenis bahan, namun dengan AI ia boleh mengecam objek lebih mendalam berdasarkan sifat lebih spesifik seperti warna, logo, tulisan dan ciri-ciri lain.

Difahamkan, sejak tahun 2022, TDP telah memberi fokus dalam usaha mengembangkan pendidikan AI.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuk cabaran AI Robotik yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2022 dan 2023.

“Pada tahun lepas, TDP juga telah menubuhkan Konsortium Pendidikan Kecerdasan Buatan dan tahun ini, TDP telah bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang (88 Captains), GoTT dan Intel yang berperanan dalam memacu AI untuk pendidikan, terutama dalam AI4S (AI for Schools), AI4Y (AI for Youth), AI4Uni (AI for Universities).

 

“Kita juga terlibat dalam program Cikgu Juara Digital, kolaborasi antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan INTEL Malaysia.

 

“Setelah banyak inisiatif dalam AI, kini Hab Pendidikan Kecerdasan Buatan telah menjadi realiti untuk semua,” tambahnya lagi.

Selain itu TDP juga bekerjasama 13 institusi pendidikan tinggi lain dan Boo Woi melihat kewujudan hab AI TDP ini meletakkan Pulau Pinang pada landasan tepat menjadi hab teknologi selari dengan Visi Penang2030 dalam membina sebuah negeri hijau dan pintar serta berteraskan keluarga.