‘Habitat’ kini di Pasar Kampung Baru Air Itam

Admin

AIR ITAM – Sejajar dengan Visi Penang2030 ke arah menjadi Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif mewujudkan ruangan interaktif melalui Projek Upcycle di Pasar Kampung Baru Air Itam.

 

Bertemakan ‘Habitat’, projek ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

 

Joseph Ng Soon Siang

Ketika ditemui, Soon Siang memuji komitmen yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan itu dengan menjadikan bahan kitar semula sebagai bahan pameran yang menarik.

 

“Inisiatif MBPP untuk menjalankan projek (upcycle) ini amat bersesuaian memandangkan kawasan di sini agak lapang.

 

“Seterusnya, penekanan dan penumpuan dari Unit Tindakan Khas Jabatan Perbandaran MBPP untuk memperbanyak lagi kawasan yang akan dijadikan pameran bahan kitar semula seperti ini,” ujarnya semasa sidang media pada 25 November 2021.

 

Rohaizat Hamid

Sementara itu, Rohaizat Hamid yang turut hadir pada sidang media tersebut menjelaskan bahawa projek tersebut diinspirasikan daripada The Habitat di Bukit Bendera.

 

“Tempoh yang diambil untuk projek tersebut siap sepenuhnya sekitar tiga minggu.

 

“Sebanyak 177 tempat bahan kutipan (kitar semula) dikunjungi untuk menghasilkan pameran yang berkualiti di sini.

 

“Diharapkan orang awam dapat menjadikan pameran tersebut sebagai teladan dan pada masa sama mengamalkan konsep kitar semula 3R iaitu ‘Reduce, Reuse, Recycle’,” jelas Ahli Majlis MBPP itu.

 

Sekitar kawasan Projek Upcycle di Pasar Kampung Baru Air Itam

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: LAW SUUN TING