Hadiah Sastera Negeri iktiraf sumbangan karyawan anak negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan daripada delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara di pejabat beliau di Komtar.

 

Delegasi DBP Wilayah Utara terdiri daripada Pengarah, Rahimi Ariffin; Timbalan Pengarah merangkap Perancang Bahasa, Khairul Anum Mohd. Ali dan Penolong Pustakawan, Nurul Akmal Abu Saare.

 

Pada pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, pihak DBP Wilayah Utara telah mengutarakan cadangan untuk melaksanakan Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang pada tahun hadapan.

 

Menurut Khairul Anum yang membentangkan kertas cadangan tersebut berkata, pelaksanaan tersebut adalah untuk mengiktiraf, membangunkan dan memantapkan persuratan kebangsaan pada peringkat negeri Pulau Pinang.

 

Sebelum merdeka lagi telah ada ramai penulis, malah negeri Pulau Pinang juga mempunyai tokoh-tokoh yang berkarya dalam pelbagai genre.

 

“Maka, melihat senario ini, adalah wajar untuk mengiktiraf usaha ‘orang sastera’ dalam memandaikan bangsa serta membangunkan minda masyarakat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Rahimi memberitahu bahawa di Pulau Pinang terdapat beberapa persatuan penulis yang aktif antaranya Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang; Persatuan Seni dan Apresiasi Sastera; Persatuan Melayu Pulau Pinang serta Persatuan Karyawan Pulau Pinang.

 

Jika dilihat pada peringkat negara, kita telah ada Anugerah Sasterawan Negara tetapi pada peringkat negeri masih belum ada.

 

“(Dan) dalam usaha menggalakkan karyawan anak negeri berkarya, maka perlu adanya Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang ini untuk mengiktiraf sumbangan mereka,” jelasnya.

 

Difahamkan, Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang terdiri daripada dua kategori iaitu Anugerah Sasterawan Negeri dan Hadiah Sastera yang mempunyai lima sub-kategori iaitu Hadiah Sastera; Hadiah Cekal Negeri; Hadiah Sasterawan Harapan Negeri; Hadiah Sasterawan Muda dan Hadiah Sasterawan Bukan Melayu.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya secara prinsip menyokong cadangan yang dikemukakan oleh DBP Wilayah Utara itu dan memohon supaya mereka bertemu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD