Hakis tanggapan lama tanggungjawab tradisional golongan wanita – Ketua Menteri

KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi V. Sivakumar (dua dari kiri), Aiman Athirah Sabu (dua dari kanan) serta dua individu lain semasa gimik perasmian Majlis Sambutan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 di Setia SPICE Convention Centre di sini pada 12 Mac 2023.

BAYAN LEPAS – Selaras dengan tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini iaitu ‘Embrace Equity’, semua pihak termasuk di negeri Pulau Pinang perlu mengambil bahagian dalam usaha menghakis tanggapan lama mengenai peranan berasaskan gender serta tanggungjawab tradisional terhadap wanita.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 di Setia SPICE Convention Centre di sini pada 12 Mac 2023.

“Mengikut statistik, penglibatan wanita dalam sektor ekonomi masih rendah iaitu pada aras 55.5 peratus berbanding lelaki (80.9 peratus) pada tahun 2021.

“Sehubungan itu, amalan ‘Diversity, Equity and Inclusion’ (ataupun D-E-I) dilihat sebagai langkah bertepatan bagi membolehkan peningkatan peluang untuk golongan wanita terus bekerja, di samping menggalakkan golongan lelaki untuk sama-sama memikul dan mengukuhkan tanggungjawab rumahtangga dan keluarga,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

Selain bantuan wang tunai, Kon Yeow memberitahu bahawa pihak berwajib perlu mengkaji serta melihat semula keperluan penyediaan infrastruktur dan persekitaran bagi menyokong gender ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk terus kekal dalam sektor pekerjaan negara.

“Inilah antara topik hangat yang sering dibincangkan iaitu penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak atau ‘child care centre’ berdekatan tempat kerja yang turut menjadi amalan D-E-I.

“Justeru untuk aspek ini, Pulau Pinang amat bangga kerana kita telah dipilih menjadi tuan rumah atau perintis dalam inisiatif ‘industry-driven child care centre’ yang pertama di Malaysia, dipacu oleh Micron Memory Sdn. Bhd. di Batu Kawan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Di samping itu, Kon Yeow turut menyarankan kepada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar supaya mengetengahkan Dasar 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan memandangkan agenda pembaharuan tersebut lebih sedekad diperjuangkan sebelum ini.

Sivakumar yang berucap sebelum itu berkata kementeriannya menggesa rakan industri di seluruh negara untuk bersama-sama Kerajaan hari ini menyokong dan memajukan tenaga kerja wanita.

“Dalam menyokong dan memajukan tenaga kerja wanita, bukan sebagai persaingan kepada golongan lelaki tetapi sebagai ‘equal affiliates’ yang menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, Perak.

Manakala, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu pula dalam ucapannya menyatakan bahawa Malaysia komited dengan komitmen antarabangsa di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang disertai sejak tahun 1995 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selari dengan Dasar Wanita Negara.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Timbalan Ketua Setiausaha Operasi bagi Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Eksekutif Kumpulan Syarikat Talent Corporation Malaysia Berhad, Thomas Mathew turut sertai majlis tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT