Hal pelantikan mufti, tiada sebarang campur tangan KM – Malik

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim menyifatkan kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden baru-baru ini merupakan fitnah dan berniat jahat terhadap Ketua Menteri.

Kata Abdul Malik, Afnan Hamimi menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tidak menyambung kontrak bekas Mufti, Datuk Seri Hassan Ahmad disebabkan isu fatwa kalimah Allah, selain kononnya kerana membantah arahan Ketua Menteri bahawa semua fatwa perlu dimaklumkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Tuduhan itu fitnah dan berniat jahat terhadap Ketua Menteri.

“Sebagai seorang yang memahami ajaran Islam dan hukum-hakam, beliau sepatutnya memahami dosa fitnah.

“Fatwa kalimah Allah bersama 39 kalimah suci Islam yang lain, diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 29 April 2010, iaitu sewaktu Datuk Seri Hassan masih sebagai Mufti Pulau Pinang.

“Dato’ Dr. Wan Salim mengambil alih jawatan Mufti daripada Datuk Seri Hassan pada 7 Jun 2014, iaitu selepas empat tahun pewartaan kalimah Allah oleh Kerajaan Negeri.

“Dalam tempoh empat tahun, Datuk Seri Hassan telah disambung kontraknya pada setiap tahun iaitu sebanyak empat kali,” katanya pada sidang media di sini sambil merujuk kepada kenyataan media beliau bertarikh 4 Februari 2017.

Menurut Abdul Malik, sebenarnya kebanyakan urusan untuk memartabatkan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang, beliau mendapat nasihat terus daripada Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hal pelantikan Mufti, Yang diPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan Ahli Majlis MAINPP disyor serta diluluskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar).

“Tidak ada sebarang campur tangan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” tegasnya. Tambah Abdul Malik, sepertimana dijelaskan Mufti Pulau Pinang kini, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor sebelum ini, bahawa Exco dan Kerajaan Negeri tidak pernah mencampuri urusan fatwa atau menghalang sebarang pewartaan fatwa.

“Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk memanjangkan polemik yang tidak berasas ini.

“Sebagai seorang bergelar ustaz, Afnan (Hamimi) tidak sewajarnya membuat tuduhan semberono terhadap Kerajaan Negeri, meskipun tohmahan itu ditujukan kepada pemimpin bukan Islam. Allah melarangnya,” jelas beliau.

Islam Rahmatun Lil Alamin, Islam Rahmat Seluruh Alam, Islam Rahmat Untuk Semua.