GEORGE TOWN – Kepelbagaian kaum dan penduduk di negeri Pulau Pinang menjadikan ianya agak unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peratusan penduduk di Pulau Pinang adalah terdiri daripada 45 peratus daripada mereka yang berbangsa Cina, Melayu (hampir 45 peratus), India (10 peratus) dan bakinya adalah lain-lain bangsa serta kaum.
“Seperti yang kita raikan hari ini, Majlis Rumah Terbuka Persatuan IMAN Pulau Pinang, majlis nampak biasa tetapi maknanya begitu besar kerana kita bukan sahaja dapat meraikan umat Islam, tetapi juga umat bukan beragama Islam.
“Atas kesempatan itu, di Malaysia dan Pulau Pinang kita dapat bersama-sama, hormat menghormati dan saling tunjuk penghargaan atas segala kebaikan yang dilakukan,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan IMAN Pulau Pinang dekat Lebuh Chulia di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengerusi Persatuan IMAN Pulau Pinang, Shahul Hameed dan kepimpinan gabungan persatuan-persatuan setempat.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa atas keunikan tersebut, maka ia telah mewujudkan jawatan Ketua Menteri dalam kalangan bangsa Cina di negeri ini.
“Berhubung perkara ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana baru-baru ini ada pihak cuba timbulkan satu isu berkaitan (jawatan Ketua Menteri).
“(Dan) Datuk Seri (Utama) Anwar Ibrahim dengan begitu cepat minta jangan dijadikan isu sedemikian sebab ini adalah keunikan negeri Pulau Pinang sejak merdeka sehingga kini dan ia perlu dihormati,” ulasnya lanjut yang juga merangkap ADUN Padang Kota.
“Baru-baru ini juga, Perdana Menteri turut menberikan respons positif terhadap isu-isu yang dibawa mengenai hala tuju pembangunan negeri Pulau Pinang, dan kita berharap apa yang dimohon dapat dimasukkan ke dalam belanjawan serta Rancangan Malaysia seterusnya,” ujarnya.
Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terus menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 2008.
Hui Ying yang turut berucap pada majlis sama turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Persatuan IMAN Pulau Pinang yang telah berjasa selama 33 tahun dalam bidang pendidikan tanpa mengira latar belakang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT