Halal Penang, Chengdu Restaurant Industry Association meterai perjanjian tawar pembangunan industri Halal di China

GEORGE TOWN – Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Halal Penang dan The Chengdu Restaurant Industry Association (Halal Restaurant Food Council) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) termasuk persetujuan meningkatkan lagi hubungan perdagangan bilateral dan pelaburan antara kedua-duanya.

 

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, Pulau Pinang turut bersetuju untuk menawarkan latihan dan sokongan bagi pensijilan serta akreditasi Halal sejajar dengan peningkatan permintaan produk halal di Bandar Chengdu yang terletak di Wilayah Sichuan, China itu.

 

“Perjanjian hari ini akan mengeratkan lagi kerjasama menerusi perkongsian teknologi dalam membangunkan industri Halal di Bandar Chengdu memandangkan kini kesedaran mengenai potensi industri Halal semakin bercambah,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Halal Penang dan The Chengdu Restaurant Industry Association (Halal Restaurant Food Council) di sini, tengah hari ini.

 

MoU ditandatangani oleh Pengurus Besar Halal Penang, Mohamad Firhan Mohamed Ghouse dan The Chengdu Restaurant Industry Association (Halal Restaurant Food Council) diwakili Timbalan Presidennya, Lan Ping sambil disaksikan oleh Abdul Halim yang juga Pengerusi Halal Penang dan Naib Datuk Bandar Chengdu, Liu Xiao Liu.

 

Turut dilancarkan Penang – Chengdu Friendship Association.

 

Dalam pada itu, Xiao Liu ketika berucap menzahirkan penghargaan kepada Halal Penang yang menjadi hos selama tiga hari berada di Pulau Pinang.

 

Beliau percaya, melalui perjanjian dan pelancaran Penang – Chengdu Friendship Association ini akan mengembangkan lagi potensi industri Halal bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat kini.

 

“Bandar Chengdu mempunyai populasi 17 juta orang dengan susur galur sejarahnya yang menjangkaui lebih 2,300 tahun dan merupakan pusat bagi pembangunan sains dan teknologi di China selain menjadi rumah untuk penyelidikan dan pembiakan ‘Giant Panda’.

 

“Bandar Chengdu juga berkongsi persamaan dengan Pulau Pinang dari segi gastronomi makanan dan memandangkan permintaan makanan Halal semakin meningkat, saya percaya  perjanjian ini akan dapat memenuhi permintaan tersebut,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan sama, Xiao Liu turut menyambut baik cadangan agar mewujudkan penerbangan terus Pulau Pinang ke Bandar Chengdu.

 

Jelasnya, inisiatif tersebut akan menawarkan lebih banyak ruang kerjasama dalam pelbagai sektor pada masa hadapan antara Pulau Pinang dan Bandar Chengdu.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI