GEORGE TOWN – “Ini merupakan kali pertama saya dan delegasi hadir ke Pulau Pinang. Memang menakjubkan. Permandangan di Republik Serbia sama sekali berbeza,” ujar Ketua Pengawai Eksekutif, The Islamic Community of Serbia (Halal Serbia), Mustafa Jusufspahic yang hadir ke sidang media khas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Penang International Halal HubDevelopment Sdn. Bhd. (Halal Penang) dan Halal Serbia di sini baru-baru ini.
Menurut Mustafa lagi, beliau melihat potensi untuk memasarkan produk dan perkhidmatan serta menjalinkan kerjasama dengan Pulau Pinang semasa menghadiri Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) 2012 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah, beliau yang bersedia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat terutama dalam penghasilan produk halal cukup mengagumi Pulau Pinang dalam pembangunan modal insan, pembangunan industri halal dan juga perkembangan pendidikan di sini.
“Di Serbia, menjelang tahun 2005, lebih daripada 100 buah syarikat telah mendapat pensijilan halal dan Halal Serbia juga bertindak sebagai salah sebuah badan yang mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam pengeluaran sijil halal di Serbia.
“Kami juga amat berbesar hati untuk menjemput Halal Penang untuk menyertai Agriculture Fair 2013 di Serbia bagi membuka ruang bagi syarikat-syarikat halal di Serbia mempromosikan produk mereka di sini,” ujar Mustafa lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan, Abdul Malik Abul Kassim turut menjemput Halal Serbia untuk menyertai Penang International Halal Expo and Conferences (PIHEC) yang ke-4 pada 18 Januari 2013.
“Kita (Halal Penang) bukan sahaja menjadi ajen dalam mempromosikan industri halal di Pulau Pinang, malah, turut membantu Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri halal.
“Perjanjian pada hari ini merupakan perjanjian bersama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Republik Serbia dan Kesatuan Eropah. Tidak terhad untuk perdagangan dan pelaburan, malah, turut melibatkan pendidikan dan pelancongan,” jelas Abdul Malik.
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Pengarah Giljeva, Hrnjak Fuad iaitu salah sebuah syarikat yang terlibat dengan pembekalan daging mentah; Pengarah Mont Focus (M) Sdn. Bhd., Mekic Dzevad dan Presiden Pester Food Association, Dustinac Behdzida.