Halal Penang, pacu kecemerlangan industri Halal negeri, dunia

Admin

GEORGE TOWN – Penang International Halal Hub (PIHH) Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Halal Penang berjaya mempromosi, sekaligus memacu kecemerlangan industri halal negeri di mata dunia.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, sejak penubuhan Halal Penang pada 2008, industri Halal di Pulau Pinang semakin berkembang pesat.

“Apatah lagi, perkembangan pesat ini bukan sahaja dalam penyediaan, malah perkhidmatan halal telah mewujudkan fenomena ‘Blue Ocean Strategy‘ yang mengubah arus ekonomi dunia.

“Berdasarkan statistik MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), nilai eksport bagi produk Halal Malaysia adalah RM42.2 bilion pada tahun 2016 dengan China dan Singapura sebagai destinasi eksport utama negara.

“Peningkatan nilai eksport ini adalah selaras dengan nilai pasaran halal global sebanyak USD3.2 trilion dan Pulau Pinang, sealiran dengan visi Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), menggalas tanggungjawab membangunkan industri Halal di Pulau Pinang selaras dengan dasar dan perancangan Majlis Halal Malaysia,” ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13 baru-baru ini.

Jelas Abdul Malik, secara lokal, Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) Fasa 1 di Bukit Minyak telah mencatatkan nilai pelaburan halal sejumlah RM484 juta melalui pelaburan 10 syarikat pemprosesan makanan.

“Zon TPHPP seluas 100 ekar ini mendapat pengiktiran status HALMAS iaitu pengiktirafan akreditasi daripada Halal Industry Development Corporation (HDC) bagi membolehkan pengusaha industri menikmati pengecualian cukai dan duti import bahan mentah bagi pengeluaran produk mereka.

“Malah, Halal Penang dengan kerjasama PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan investPenang (iP) membangunkan Zon Makanan yang terletak di bahagian utara Taman Perindustrian Sains Pulau Pinang, Bukit Minyak dengan nilai pelaburan RM228.75 juta melalui 18 buah syarikat industri halal.

“Kini, Halal Penang sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan HALMAS bagi operasi industri makanan halal di zon berkaitan,” jelasnya.

Begitu juga permohonan bagi pensijilan halal negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu memberitahu, pada tahun 2008, hanya 55 syarikat yang membuat permohonan pensijilan halal, namun, sehingga suku pertama tahun 2017, lebih 921 syarikat mengemukakan permohonan.

“Permohonan ini merangkumi restoran, outlet makanan, industri pembuatan produk makanan, kosmetik serta farmaseutikal, logistik dan hotel.

“Malah, Halal Penang turut  bekerjasama dengan MATRADE dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bagi menawarkan khidmat nasihat dalam pensijilan dan latihan halal kepada Jepun sebagai persiapan menjelang Olimpik 2020.

“Usaha ini adalah bertujuan menjadikan sukan berprestij tersebut sebagai acara ‘Muslim Friendly‘ yang pertama dalam sejarah Olimpik,” katanya yang juga Pengerusi Halal Penang.

Terkini, pada Mei lalu, Halal Penang telah mengadakan pertemuan dengan syarikat penternakan dari Hokkaido, Jepun yang berminat untuk membangunkan industri penternakan lembu tenusu wagyu seperti diguna pakai di Australia.