BAYAN LEPAS – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membuka semula halangan yang dibina di Lorong Sungai Tiram 7, di sini pada Ogos ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
Ahli Majlis bagi MBPP, Dr. Mohd. Suhairi Arumugam Abdullah berkata keputusan itu dibuat susulan terdapat permohonan oleh lebih 80 peratus peduduk di kawasan berkenaan yang mahukan halangan tersebut dibuka.
“Jawatankuasa Teknikal Infrastruktur dan Lalulintas menerima beberapa aduan daripada penduduk sekitar yang ketika ini hanya mempunyai satu laluan keluar iaitu melalui Lorong Sungai Tiram 6 melalui Jalan Sungai Tiram 1 dan keluar ke Jalan Sultan Azlan Shah.
“Penduduk menyatakan bahawa kenderaan ibu bapa yang menunggu anak-anak pulang dari sekolah di Jalan Sungai Tiram 1 dan di bulatan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Heng Ee Cawangan Bayan Baru mengakibatkan masa perjalanan mereka terganggu.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa menunggu sehingga 1 jam 30 minit untuk keluar daripada kawasan ini.
“Selepas beberapa peringkat mesyuarat, akhirnya kita (MBPP) membuat keputusan untuk membuka halangan ini,” katanya pada sidang media dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. Ts. Zainuddin Mohamad; Ahli Majlis bagi MBPP, Chan Soon Aun, Benji Ang Ming Quan dan Koay Gaik Kee serta Pengerusi Majli Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Tiram, Samsuddin Sukiman.
Mohd. Suhairi berkata, pembukaan halangan tersebut akan membantu mengurangkan konflik lalu lintas di kawasan perumahan di Lorong Sungai 7 serta sekitarnya.
“Selain itu, pembukaan halangan ini akan meningkatkan kapasiti jalan dan keselamatan di kawasan ini selain dapat menyediakan laluan alternatif kepada penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata, kenderaan berat terutamanya kenderaan pembinaan masih dilarang melalui jalan tersebut selepas halangan dibuka kelak.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan bahawa larangan kenderaan berat bagi pembinaan boleh disyaratkan semasa Pelan Parit dan Jalan dikemukakan nanti.
“Justeru, kita akan tetapkan laluan khas untuk kenderaan berat bagi menghalang mereka melalui jalan ini,” ujarnya.
Beliau berkata, peletakan halangan di Lorong Sungai Tiram 7 merupakan syarat yang dinyatakan dalam Penilaian Impak Lalulintas (TIA) sebelum ini bagi mengurangkan konflik lalu lintas di kawasan perumahan terbabit.
“Halangan ini telah dibina sejak lebih 10 tahun lalu dan apabila halangan ini dibuka, penduduk boleh melalui jalan ini untuk menghala ke bulatan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR