Hampir 100 kakitangan peringkat lapangan negeri diberi pendedahan penyampaian maklumat dan komunikasi berkesan

Admin

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan kompetensi komunikasi dan penyampaian maklumat dalam kalangan kakitangan pentadbiran Kerajaan Negeri di peringkat lapangan, Unit Penerangan Ketua Menteri hari ini mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Komunikasi.

Seramai hampir 100 kakitangan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), wakil Pusat Khidmat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Exco negeri menyertainya.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng berkata, kakitangan dan ahli MPKK, Pusat Khidmat dan Pejabat Exco negeri adalah ejen dalam membantu Kerajaan Negeri menyampaikan mesej kepada rakyat.

“Anda semua juga memainkan peranan penting untuk menyampai serta menyebarkan berita berhubung Kerajaan Negeri.

“Justeru, adalah sangat penting segala maklumat, cara penyampaian dan bentuk penulisan menggunakan bahasa dan format yang betul. Ini akan meningkatkan kompetensi anda di dalam tugasan harian,” ujarnya semasa majlis perasmian di sini pagi tadi.

Hadir sama Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul dan penceramah jemputan khas daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Muzaffar Syah Mohd. Rajamal.

Antara pengisian bengkel sehari tersebut adalah teknik penulisan berita ringkas untuk media sosial, teknik pengambilan photo dan video pendek serta tatacara penulisan surat rasmi dan jemputan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN