Hampir 1,000 sertai sesi temu duga MYFutureJobs @ Nibong Tebal

Admin
img 8060 SUASANA acara pra-pendaftaran peserta MYFutureJobs anjuran PERKESO di ruang legar pasar raya mega C-Mart Nibong Tebal sekitar jam 8.30 pagi tadi (9 Mac 2024).

JAWI – Seawal 8.30 pagi tadi lagi hampir 1,000 orang beratur panjang di pasar raya mega, C-Mart Nibong Tebal di sini bagi menyertai sesi temu duga secara langsung dalam Karnival Kerjaya Pulau Pinang 2024 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

img 8075
JASON H’ng Mooi Lye semasa menyampaikan ucapan perasmian karnival berkaitan di sini pada pagi tadi.

Semasa merasmikan karnival itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata pihak berhasrat untuk menyediakan ruang pejabat di Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi dekat pasar raya tersebut sebagai pusat carian kerjaya setempat jika diperlukan oleh wakil PERKESO.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi, tujuan penganjuran karnival tersebut sejak tiga tahun lepas antara lain adalah untuk membantu golongan belia dan lepasan sekolah mendapatkan pekerjaan.

“Sejak tahun lepas, Pusat Khidmat KADUN Jawi telah menjalinkan kerjasama strategik dengan PERKESO dengan membuka Pusat Satelit MYFutureJobs.

“Oleh kerana program MYFutureJobs ini sangat memberi manfaat kepada orang ramai sekitar kawasan Parlimen Nibong Tebal, saya sudi meminjamkan ruang Pusat Penang2030 KADUN Jawi di sini sebagai pejabat sementara kepada PERKESO untuk menawarkan khidmat nasihat kepada pelanggannya,” jelasnya.

img 8071
RAFIDAH Rahim

Berucap sebelum itu, Pengarah PERKESO Negeri, Rafidah Rahim berkata pada tahun 2023 seramai 5,844 orang seluruh Pulau Pinang yang kehilangan pekerjaan telah mendapat bantuan kewangan dengan jumlah faedah yang dibayar adalah sebanyak RM19.8 juta.

Menurutnya lagi, pada tahun 2024 seramai 493 orang seluruh Pulau Pinang telah diluluskan permohonan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) akibat kehilangan pekerjaan melibatkan jumlah bayaran RM2.72 juta.

“PERKESO melalui Portal MYFutureJobs juga telah membantu penempatan pekerjaan semua golongan pencari kerja terutama di Pulau Pinang pada tahun 2023 iaitu sebanyak 18,028 orang.

“Tahun 2024 seramai 695 orang pencari kerja telah ditempatkan semula ke alam pekerjaan,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa PERKESO akan terus memainkan peranan penting dalam mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan empat akta iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800); serta diberi mandat untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah (Akta 838) bermula 1 Disember 2022.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai turut sertai acara perasmian karnival kerjaya tersebut.

img 8082

SERENTAK pada majlis samai, Jason H’ng Mooi Lye turut menyampaikan pek kurma kepada wakil lima masjid, 10 surau dan sebuah pusat pelindungan anak yatim tempatan sempena sambutan ibadah puasa Ramadan yang kian kunjung tiba.Difahamkan, sebanyak 25 majikan menyediakan sesi temu duga secara langsung dalam karnival tersebut di sini pada hari ini bagi mengisi sejumlah 3,123 kekosongan kerjaya dalam pelbagai sektor berkaitan.

Dexcom (Malaysia) Sdn. Bhd.; DHL Supply Chain (M) Sdn. Bhd.; Ivy Technology Global Services Malaysia; 99 Speedmart dan Aeon Credit Service (M) Berhad merupakan antara lima majikan utama yang menawarkan sesi temu duga di sini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB