Hampir 500 program ditawarkan sempena NTW 2024

Admin
34a5f2d7 5111 4346 82bd 3d1f6a8f6282

BAGAN JERMAL – Hampir 500 program sesi latihan, bengkel dan seminar bernilai RM200 juta ditawarkan sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, program latihan yang ditawarkan NTW bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pekerjaan.

“Pengenalan terhadap program latihan yang komprehensif dan inklusif seperti yang ditawarkan NTW mampu melahirkan lebih ramai individu mahir yang berdaya saing di peringkat global.

574f8efb 8c42 4f35 b8e8 92a71581d9ba
JAGDEEP Singh Deo.

“NTW turut menjadi tempat untuk mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk masyarakat sentiasa memperbaharui dan meningkatkan kemahiran masing-masing

“Ia bukan sekadar satu acara, tetapi peluang untuk kita semua meneroka potensi diri dan meningkatkan kemahiran supaya dapat bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Karnival NTW 2024 di PICCA Convention Centre dekat Butterworth Arena, semalam.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Wira Shahul Dawood; Ketua Pegawai Kewangan, Mohamad Farizul Yahaya; Ketua Pegawai Undang-undang dan Setiausaha syarikat, Merl Fernandez; Ketua Pegawai Operasi PICCA Convention Centre, James Chang dan Ketua Wilayah Utara HRD Corp; Suraindran Visuvanathan.

Menurut Jagdeep, pusat-pusat latihan juga perlu diperkasa dan diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir agar dapat memenuhi keperluan pelabur.

“Pertama kita (pihak industri) boleh memperkenalkan lebih banyak kursus latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan seperti kursus dalam bidang teknologi tinggi, kejuruteraan dan sains data.

“Seterusnya kita boleh membangunkan program latihan yang disesuaikan untuk pekerja mahir dan separa mahir yang merangkumi latihan praktikal di tempat kerja agar mereka dapat meningkatkan kemahiran dan menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

“(Dan) kita boleh memperluas akses kepada latihan melalui platform pembelajaran dalam talian yang membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar untuk mendapat akses kepada peluang latihan yang berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan mereka,” ujar Jagdeep.

Difahamkan, karnival NTW 2024 akan berlangsung selama tujuh hari bermula semalam (24 Jun) sehingga 30 Jun ini.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : HRD Corp