Hantar bantuan bencana banjir ke Kelantan tanda solidariti sebagai rakyat Malaysia – Ramkarpal

Admin
6723c858 0502 4a90 a6c0 5a9eaf0c4745 ACARA pelepasan Misi Bantuan Bencana Banjir Ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia Terutama Kelantan di sini semalam.

SERI DELIMA – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menghantar 19 jenis barangan keperluan bernilai RM35,000 bagi membantu 300 keluarga yang terjejas banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di negeri Kelantan.

db1b6368 cc56 422f b7b4 3d1b3be3fd6f
RAMKARPAL Singh

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata usaha itu sebagai tanda solidariti bersama-sama rakyat Malaysia dalam menghadapi bencana di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.

“Barang-barang ini termasuk beras, gula, minyak masak, mi, bihun, biskut, sardin, susu pekat, teh, kopi, tepung, garam, tuala wanita dan lain-lain lagi.

“Ini, adalah bekalan penting yang telah dikenal pasti berdasarkan pengalaman kami semasa bencana sebelum ini dan maklum balas daripada keluarga yang terjejas.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersatu hati pada saat-saat tertentu seperti ini untuk menyokong antara satu sama lain,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 28 Disember 2024.

Mengulas lanjut, Ramkarpal yang juga Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang yang baharu berkata pihaknya akan saling bekerjasama dengan Pengerusi DAP Kelantan ‘Encik Nelson’ untuk memastikan proses menghantar bantu bencana banjir kepada mangsa yang terjejas berjalan lancar.

Pada masa sama, Ramkarpal turut merakamkan penghargaan kepada Pasaraya Sunshine atas sumbangan 10 karton mi tomyam dan 300 beg kitar semula dalam usaha menjayakan proses pengantaraan bantuan bencana banjir pada kali ini.

3bd47cc2 ba95 4989 88fb 78f3e9169830
LIM Siew Khim (kanan) dan Connie Tan Hooi Peng (kiri) turut sertai sidang media bersama-sama Ramkarpal Singh di sini semalam.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran turut sertai majlis pelancaran pengantaran bantuan bencana banjir ke Pantai Timur tersebut di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI