Hanya 12.8% rumah mampu milik dibina Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Hanya 12.8 peratus atau bersamaan 5,897unit rumah mampu milik (RMM) dibina oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi berkaitan di negeri Pulau Pinang setakat ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata jumlah tersebut wajar ditingkatkan kerana tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik perlu dipikul bersama oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira sumbangan negeri Pulau Pinang kepada hasil percukaian dan pelaburan yang merupakan antara yang tertinggi dalam negara.

“Usaha ini patut ditingkatkan lagi khususnya dengan peruntukan belanjawan yang besar dan permintaan tinggi di Pulau Pinang.

“Permintaan Pulau Pinang berkaitan penyediaan unit sewa juga perlu diteruskan khususnya pasca pandemik yang memberi tekanan kepada pemaju swasta untuk berdaya saing membina perumahan mampu milik.

“Dalam hal ini, bank tanah milik Kerajaan Persekutuan sepatutnya dimanfaatkan untuk menjayakan agenda penyediaan perumahan mampu milik Pulau Pinang yang mempunyai kekangan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Jagdeep berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 208 hingga kini telah pembekalan sebanyak 136,333 unit pelbagai kategori RMM yang berada dalam pelbagai peringkat pembinaan.

“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 45,903 unit RMM kategoriA, B dan C telah siap dibina 18,354 unita sedang dalam pelbagai fasa pembinaan manaka baki 72,076 unit pula berada pada peringkat perancangan,” katanya yang juga ADUN Datok Keramat.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan semasa ditadbir oleh Pakatan Harapan telah meluluskan pelaksanaan dua projek Perbadanan PRIMA Malaysia (PRIMA) iaitu Ideal Residensi dan Ideal Venice di Gelugor secara usaha awam dan swasta.

“Di kawasan Seberang Perai pula, projek PRIMA Pauh Permai Residensi telah siap pada 14 September 2021 yang mana 1,017 unit telah selesai ditawarkan, manakala projek PPAM Konifer di Seberang Perai Utara telah dimulakan.

“Namun aktiviti pembinaan bagi projek ini agak perlahan dan dimaklumkan di bawah pemantauan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & ALISSALA THIAN