Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
BUKIT GEDUNG – Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga merangkap Ketua Pembangkang Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sahaja (PR) yang mampu membela nasib rakyat terutama dalam soal kebajikan dan hak rakyat.
“Sebagai contoh, kita ambil Ketua Menteri Pulau Pinang. Sejak Guan Eng (Lim Guan Eng) menerajui Pulau Pinang, macam-macam dia lakukan”.
“Ketegasan dia (Guan Eng). Pintar dia. Jaga rakyat. Jaga ekonomi. Daripada defisit jadi surplus (untung). Tak menterkedarah (memeras) duit rakyat. Kalau dia (Guan Eng) pandai, baik, kita sokongla,” katanya sambil menyatakan bahawa Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP akan terus menerajui negeri Pulau Pinang sekiranya PR mengekalkan kemenangan selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
Anwar menyatakan demikian di hadapan kira 600 rakyat Pulau Pinang yang hadir pada program Kembara Tawan 416: DSAI Bersama Rakyat, di perkarangan Tapak Penjaja Sementara Bukit Gedung di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar rakyat menolak sebarang isu politik perkauman yang dimainkan pihak lawan dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti kepimpinan negeri.
“Bukan sebab kaum. It’s about justice. Good governance. Conscious”. (Ia adalah tentang keadilan. Urus tadbir yang baik. Kesedaran),” ujar beliau yang turut memuji kepimpinan Tan Sri Wong Pow Nee yang mana telah banyak membantu dalam memastikan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
Pada masa sama, beliau turut menggesa para penyokong PR dan rakyat untuk memberi kerjasama dan sokongan kepada pimpinan PR Pulau Pinang dan bakal-bakal calon yang akan bertanding untuk PRU13 akan datang.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Ahli DUN Batu Uban, S. Raveentharan dan ahli-ahli Jawatankuasa AMK Pulau Pinang.