Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
TELUK KUMBAR – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, hanya Kerajaan Pulau Pinang sahaja menyediakan HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang demi memudahkan rakyat menikmati
Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) di bawah Kerajaan Pusat.
Justeru, katanya, Kerajaan Pusat dirayu segera meluluskan kesemua permohonan TP1M supaya Kerajaan Negeri boleh membiayai 10 peratus atau 30 peratus baki kos penyelenggaraan perumahan yang sepatutnya ditanggung rakyat di negeri ini.
“Pulau Pinang tidak seperti negeri lain.
“Di mana penduduk perlu mencari atau membayar 10 peratus atau 30 peratus daripada baki kos projek TP1M yang diberikan iaitu 90 peratus atau 70 peratus masing-masing,” ujarnya semasa menyerahkan cek replika RM532,600 kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Saujana Heights, A. Joseph di sini baru-baru ini.
Menurut Jagdeep, RM126,400 adalah peruntukan tambahan pada TP1M bagi kos penyelenggeraan pangsapuri kos rendah, manakala, baki RM406,200 pula untuk kos sederhana rendah di sini.
“Kerajaan Negeri mengiktiraf dan mengakui kesukaran yang dihadapi penduduk kos rendah dan kos sederhana rendah untuk mencari dana ini.
“Oleh itu, kita memainkan peranan proaktif mesra rakyat dengan memberikan bantuan sedemikian kepada penduduk,”ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Difahamkan peruntukan yang disalurkan tersebut bakal digunakan untuk membaiki lif, mengecat semula Blok E, membaiki tangki air, sistem retikulasi dan bumbung.
Sehingga kini, direkodkan, Kerajaan Pusat baru meluluskan 14 permohonan, sungguhpun 119 permohonan dihantar oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi keselesaan rakyat di negeri ini.