HAPPY! – dana RM50 juta tambahan perumahan untuk rakyat

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bagi memastikan rakyat Pulau Pinang menikmati kualiti hidup lebih selesa, Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan penubuhan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assistance Programme of Penang, YES! (HAPPY!) dengan dana berjumlah RM50 juta sebagai tambahan kepada tabung bantuan perumahan sedia ada.

HAPPY! adalah hasil dividen anti rasuah yang diamalkan Kerajaan Negeri iaitu lebihan dalam perbelanjaan sebanyak RM88 juta pada 2008, RM77 juta (2009), RM33 juta (2010) dan RM50 juta (2012). Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa di bawah HAPPY!, Kerajaan Negeri bakal menaiktaraf rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah seluruh Pulau Pinang.

“HAPPY! Jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membawa perubahan besar kepada lebih 600 skim bantuan perumahan kos rendah dan puluhan ribu unit rumah kos sederhana rendah di Pulau Pinang.

“Ini merupakan satu program yang bukan sahaja sistematik, malah, belum ada mana-mana negeri dalam Malaysia yang melaksanakannya lagi,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, melalui HAPPY!, Kerajaan Negeri yakin mampu menjayakan program penyelenggaraan, pembaikan dan menaiktaraf infrastruktur bagi pihak penduduk rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

Dalam kenyataannya, Guan Eng menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sebelum ini telahpun menubuhkan tabung penyelenggaraan berjumlah RM500 juta untuk semua skim bantuan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Dalam skim bantuan tersebut, kerajaan persekutuan menawarkan pembiayaan kos sebanyak 90 peratus manakala lebihan 10 peratus ditanggung oleh penduduk di kawasan terbabit. Hal ini termasuk pembiayaan pembaikan dan menaiktaraf infrastuktur di kawasan kediaman kos rendah.

“Bagi kediaman kos sederhana rendah, 70 peratus adalah dibiayai oleh kerajaan persekutuan, manakala lebihan 30 peratus, penduduk,’’ jelasnya.

Bagaimanapun, Guan Eng memberitahu bahawa, usaha untuk pembiayaan tersebut gagal kerana kebanyakan penduduk terutama di kediaman kos rendah tidak mampu menanggung lebihan kos 10 peratus tersebut atas faktor kekangan kewangan.

“Justeru, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menanggung lebihan kos ditanggung penduduk dan akan dijalankan secara serentak,’’ kata beliau.