HAPPY! dilancar bukti hasil dividen anti rasuah

seminarHAPPY

KETUA Menteri (dua dari kiri), Patahiyah Ismail (kiri sekali), Wong Hon Wai (dua dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali) menunjukkan sepanduk program HAPPY! pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi mengurangkan beban baki kos yang pembaikan perlu ditanggung badan pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMC) bagi menaiktaraf rumah pangsa di negeri ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mengorak selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) dengan dana berjumlah RM50 juta di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penubuhan HAPPY! dengan dana RM50 juta adalah tambahan kepada tabung
bantuan perumahan sedia ada.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) dengan dana berjumlah RM500 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk membantu menaiktaraf rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Dalam skim bantuan tersebut, kerajaan persekutuan menawarkan pembiayaan kos pembaikan 90 peratus bagi rumah pangsa kos rendah dan rumah kos sederhana rendah (70 peratus).

“Baki selebihnya, 10 peratus (rumah pangsa kos rendah) dan 30 peratus (rumah pangsa kos sederhana rendah) perlu ditanggung badan pengurusan (JMB/MC/Persatuan Penduduk),” ujarnya ketika Perasmian Seminar Pengurusan Bangunan Bertingkat (Berstrata) Kepada Badan Pengurusan (JMB/MC) Bagi Tahun 2012 dan Pelancaran Program HAPPY! di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Exco Perancang Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Menurut Guan Eng, kebanyakan badan-badan pengurusan menghadapi masalah untuk menampung sebahagian daripada kos pembaikan berkenaan. Justeru, di bawah program HAPPY!, Kerajaan Negeri membantu menaiktaraf rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah di seluruh Pulau Pinang.

“HAPPY! Adalah hasil dividen anti rasuah yang diamalkan Kerajaan Negeri iaitu lebihan perbelanjaan sebanyak RM88 juta (2008), RM77 juta (2009), RM33 juta (2010) dan RM50 juta (2012). Ini merupakan satu program yang bukan saja sistematik, malah, belum ada mana-mana negeri yang melaksanakannya.

“Kerajaan Negeri percaya bahawa program HAPPY! mampu menjayakan program penyelenggaraan, pembaikan dan menaiktaraf infrastruktur rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di seluruh negeri Pulau Pinang sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat secara keseluruhannya,” ujar beliau.