Happy Penang gerak jawatankuasa tangani masalah kesihatan dan gangguan mental, wujudkan negeri gembira untuk dihuni – Exco

GEORGE TOWN – Program Happy Penang yang sedang dalam perancangan pelaksanaan adalah usaha bagi menggerakkan bantuan menangani masalah berkaitan kesihatan dan gangguan mental secara menyeluruh di peringkat negeri.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, stigma dan perspektif negatif terhadap penyakit mental termasuk kemurungan rata-ratanya mengakibatkan pesakit malu untuk mendapat bantuan daripada kaunselor, psikologi atau psikatri profesional.

“Hakikatnya saya yakin masih banyak lagi stigma yang wujud dalam kalangan masyarakat terutamanya apabila berbicara tentang kesihatan mental.

“Pandangan negatif ini mengakibatkan pesakit tidak mahu menonjolkan diri mereka kepada pakar yang akhirnya menyebabkan keadaan kesihatan (mental) mereka semakin teruk dan terlepas daripada mendapatkan saringan serta bantuan kesihatan yang wajar.

“Justeru, jawatankuasa Happy Penang ini yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri dengan bantuan pelbagai sektor kerajaan dan swasta seperti Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Hospital Besar Pulau Pinang (HPP), Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI), badan-badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Minda D’Home, Befrienders dan lain-lain diharap dapat membantu mempromosikan program-program sewajarnya agar lebih ramai rakyat dan pesakit sedar bahawa it is ok dan sesuatu yang normal untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Saya yakin kalau kita (Pulau Pinang) boleh lakukan ini secara konstruktif, kita dapat lakukan di peringkat akar umbi dengan lebih menyeluruh, maka akan dapat wujudkan tahap kesihatan mental yang lebih baik untuk rakyat Pulau Pinang,” ujarnya ketika Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Sesuai dengan tema ‘Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan’, sambutan tahun ini memfokuskan kepada tingkah laku dan pencegahan bunuh diri seiring dengan Kempen Let’s Talk Minda Sihat yang akan dilancarkan oleh Menteri Kesihatan pada 17 Oktober nanti.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Asmayani Khalib; Datin Dr. Azizah Abd. Manan (Pegawai Kesihatan Daerah Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut); Dr. Siti Nor Aizah Ahmad (Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HPP) dan Dr. Rozaini Mat Shah (wakil Timbalan pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang).

Hasil Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan 2017 menunjukkan bahawa kesihatan mental adalah penting dan perlu diambil peduli oleh semua pihak, institusi kekeluargaan yang kukuh, tempat persekitaran kerja yang produktif serta suasana di sekolah yang kondusif memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan mental.

Difahamkan bahawa melalui tinjauan tersebut, di Pulau Pinang mencatatkan bahawa 9.5 peratus pelajar sekolah menengah di negeri ini didapati pernah mempunyai idea untuk membunuh diri, merancang bunuh diri (7%) dan cubaan bunuh diri (6%).

Menyedari keadaan tersebut, Afif memberitahu bahawa ke arah mencapai tahun 2030, Kerajaan Negeri bukan sahaja meletakkan sasaran untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar dan hijau dari segi teknologi dan infrastruktur sahaja, malah lebih penting telah menjadikan fokus kekeluargaan sebagai visinya.

“Kerajaan Negeri percaya orang di Pulau Pinang yang majoritinya memilih untuk tinggal di negeri ini bukan sahaja disebabkan kerja tetapi memilih untuk membina keluarga dan kehidupan di sini.

“Maka atas dasar itulah, pembangunan jasmani, fizikal dan mental harus bergerak seiringan demi mencapai Visi Penang2030, oleh itu saya berharap semua yang berada dalam jawatankuasa Happy Penang ini akan bersama-sama saya menjayakan hasrat ini, membantu pesakit yang memerlukan sekaligus menjadikan Pulau Pinang negeri yang gembira untuk dihuni,” ujarnya lanjut.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD