Hapuskan stereotaip gender terhadap wanita

GEORGE TOWN – ‘Hapuskan Stereotaip’ diangkat sebagai tema bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Exco Pembangunan Sosial dan hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng ketika mengumumkan perkara itu berkata stereotaip gender dilihat menjadi salah satu punca kurangnya penglibatan golongan wanita dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi dan politik.

“Mengapakan kita masih lagi kekurangan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan politik di negara ini?

“Keadaan ini sebenarnya berkait rapat dengan norma sosial dan stereotaip yang sebati dalam masyarakat kita sejak sekian lama bahawa golongan wanita itu hanya berperanan sebagai suri rumah tangga sahaja.

“Terdapat juga stereotaip bahawa golongan wanita tidak mampu menjadi pemimpin di peringkat pembuat keputusan sedangkan tanggapan ini tidak betul sama sekali.

Poster kempen sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini.

“Ha ini kerana sudah banyak tokoh wanita yang berjaya menempa nama dan menyumbang kepada pembangunan wanita di negara kita,” katanya pada sidang media melalui aplikasi Zoom sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta barisan kepimpinan PWDC.

Chong Eng berkata, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas mendapati bahawa kadar penyertaan buruh wanita di negara ini masih rendah berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

“Malaysia mencatatkan 55.3 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2020 berbanding Singapura (69.7 peratus) dan Thailand (66.8 peratus).

“Jurang gender terbesar dapat dilihat dalam domain penglibatan wanita dalam politik yang mana mencatatkan skor terendah iaitu 0.10 yang menunjukkan golongan ini masih jauh ketinggalan berbanding lelaki,” katanya lagi.

Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat di negara ini khususunya di Pulau Pinang agar menyokong usaha menghapuskan stereotaip gender dengan menyertai kempen yang dijalankan tersebut.

Ong Bee Leng.

“Pada 8 Mac 2022, bersama-samalah kita memakai baju berwarna ungu dan menghias pejabat  dengan warna ungu sebagai tanda solidariti terhadap usaha peningkatkan peranan wanita ini melalui kempen ini,” serunya.

Dalam pada itu, Bee Leng memberitahu bahawa PWDC menerima lebih 70 penyertaan bagi program Iktiraf Perintis Perubahan Pulau Pinang terdiri daripada lelaki dan wanita.

“Tujuan Iktiraf Perintis Perubahan Pulau Pinang adalah untuk memberi penghargaan kepada individu-individu yang menyumbang ke arah pemerkasaan wanita di negeri ini,” ujarnya.

Selain itu ujar beliau lagi, pelbagai program turut dirancang sepanjang bulan Mac sempena kempen Hari Wanita pada tahun ini yang membawa mesej menghapus stereotaip gender.

“Adalah menjadi harapan besar kami agar sambutan pada tahun ini akan memberi pengiktirafan yang bermakna kepada semua wanita,” ujarnya.

Difahamkan, penganjuran sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang memasuki edisi ke-10 pada tahun ini dan mendapat kerjasama lebih daripada 30 organisasi di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LEE JIA YING