Harap hasil kaji selidik minyak dan gas di perairan Selat Melaka dibentang secepat mungkin – Kon Yeow

Admin
img 20240308 wa0005

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar hasil penemuan kaji selidik membabitkan sumber minyak serta gas di perairan Pulau Pinang dapat dibentangkan secepat mungkin.

Beliau berkata, ia adalah susulan inisiatif syarikat minyak dan gas multinasional negara, Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) yang menjalankan kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka pada November tahun lepas.

“Kita harap agensi terlibat dapat membentangkan hasil penemuan mereka sama ada sumber minyak dan gas yang ada adalah dalam kuantiti mencukupi untuk menjalankan pemetaan dan eksplorasi.

“Sehingga kini, kita masih sedang menunggu keputusan tersebut dan berharap ia dapat dibentangkan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program mengedar bunga di sekitar Pasar Chawrasta dekat sini sebentar tadi.

Pada November tahun lepas, PETRONAS dalam kenyataan berkata bahawa pihaknya telah memulakan kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan di luar pesisir baharu membabitkan kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka serta memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka.

Menurut syarikat gergasi minyak dan gas nasional itu lagi, kaji selidik berkaitan akan meningkatkan ketersediaan ‘kolam’ data seismik lebih besar, membawa kepada kebarangkalian lebih tinggi untuk menemui potensi hidrokarbon, yang seterusnya, dijangka menarik bakal pelabur dalam pusingan bidaan masa depan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD