Harap JPWK ditubuh di setiap KADUN di seluruh negara – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ekoran prestasi cemerlang ditunjukkan ahli-ahli pertubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) sepanjang tahun lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar ia dapat ditubuhkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa berkenaan dengan memainkan peranan penting dalam memperkasakan isu-isu wanita dan keluarga dari peringkat akar umbi.

“Setelah kira-kira satu tahun beroperasi, didapati bahawa JPWK di semua kawasan dapat bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat serta agensi kerajaan untuk membawa isu-isu pembangunan wanita dan keluarga di KADUN masing-masing.

Ketua Menteri menyampaikan watikah pelantikan ahli JPWK yang dilantik bagi sesi 2020/2021.

“Melalui JPWK juga, Kerajaan Negeri mendapat maklum balas, cadangan serta idea daripada peringkat akar umbi untuk digubal di dalam dasar-dasar yang akan memperkasakan wanita dan keluarga selari dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan pintar berteraskan keluarga inspirasi negara.

“Justeru, kita berharap agar lain-lain negeri juga dapat mengambil tauladan daripada negeri Pulau Pinang dan menubuhkan JPWK di setiap KADUN di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah JPWK dekat Dewan RESCAM, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC; wakil-wakil Pejabat Daerah dan Tanah serta ramai lagi.

Antara ahli JPWK yang hadir.

Dalam pada itu, Chong Eng menyatakan bahawa dalam tempoh 10 bulan tahun lepas, 40 JPWK berjaya menganjurkan 423 program yang disertai seramai kira-kira 91,427 peserta melibatkan program berasaskan perpaduan komuniti, ekonomi dan keusahawanan, kekeluargaan, kesihatan keselamatan serta pendidikan.

“JPWK bukan sahaja memenuhi indeks prestasi berteraskan pembangunan wanita dan keluarga untuk komuniti tempatan, malah mereka juga mengambil inisiatif bekerjasama dengan dengan rakan-rakan kongsi strategik untuk melaksanakan program berimpak besar yang memanfaatkan penduduk setempat.

“Lebih penting lagi adalah pogram-program ini berupaya menjangkau pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, gender serta peringkat umur,” jelasnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Difahamkan, seramai 40 JPWK menerima watikah pelantikan bagi sesi 2020/2021 yang berkuatkuasa mulai bulan ini (Februari).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD