Harap kejayaan remaja OKU jadi inspirasi buat dua ‘adiknya’

Admin
MUHAMAD Nur Faris Ghazali (kiri) dan dua ‘adiknya’, Umar Hafiy Harith (tengah) dan Muhammad Nafis Raziz (kanan) dalam majlis berkaitan di Restoran The TOP @ Komtar pada 24 Februari 2023.

DILAHIRKAN dengan sepasang kaki yang tidak sempurna seperti insan lain, bukan penghalang buat Muhammad Nur Faris Ghazali, 18, untuk terus mencabar kemampuan diri serta memburu pingat dalam acara renang peringkat Asia Tenggara.

KHALIJAH Ismail

Ibunya, Khalijah Ismail, 53, berkata anaknya itu bakal menempuhi ujian masa pada bulan Mei ini dan jika layak dia akan mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 Kemboja di Phnom Penh dari 3 hingga 9 Jun depan.

“Sama ada anak saya layak atau tidak adalah bergantung pada kemampuannya sendiri dan jurulatih (Ang Tean Hin, 64).

“Sebagai ibu, saya senantiasa memberi semangat kepadanya, bukan sahaja untuk membawa pulang pingat kepada negara, malah kejayaannya itu akan menjadi sumbu inspirasi bagi ‘adik-adik’ yang sepertinya di luar sana,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR ketika ditemui dekat restoran The TOP @ Komtar di sini pada 24 Februari 2023.

Muhammad Nur Faris sejak lahir telah menghidap sindrom tiada tulang punggung atau Sacral Agenesis dan hanya bergerak dengan bantuan papan selaju (skateboard).

Semasa berusia 11 tahun, dengan sokongan ibunya, Muhammad Nur Faris menyertai program mencungkil bakat bersama-sama 30 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘belakang parang jika diasah lagikan tajam’, begitulah juga dengan kegigihan Muhammad Nur Faris yang pada akhirnya menempa kejayaan dalam temasya-temasya suka yang disertainya.

Bekas pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung berkenaan dalam Para Sukan Malaysia XIX Perak 2018 berjaya berjaya meraih pingat emas bagi kategori 50 meter (m) kuak dada serta perak melalui 200m gaya bebas.

“Dalam Para Sukan Malaysia 2022, Muhammad Nur Faris masuk empat acara dan berjaya membawa pulang satu pingat emas dan memecah rekod kebangsaan, malah dalam tiga acara lain dia turut mendapat perak.

“Saya memang nak tengok anak saya beraksi dalam Sukan Paralimpik suatu hari nanti, dengan syarat dia mesti kuat semangat dan terus cabar kemampuan diri,” jelasnya lagi.

Pada majlis sama, turut diraikan ialah Umar Hafiy Harith, 7, kanak-kanak OKU kategori serupa dengan Muhammad Nur Faris yang juga bergerak dengan papan selaju.

Nurul Fathiah Noordin, 33, iaitu ibu kepada Umar Hafiy berkata kisah kejayaan Muhammad Nur Faris dalam arena sukan sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada anaknya serta anggota keluarga yang lain.

“Apabila saya mendapat tahu, di sebalik kejayaan Muhammad Nur Faris ini ada beberapa individu penting seperti Puan Khalijah dan ‘Coach Ang’, ia memberi semangat untuk anak saya,” jelasnya.

ANG Tean Hin

Beliau memberitahu bahawa anaknya kini belajar di sekolah biasa seperti kanak-kanak lain memandangkan beliau tiada masalah pemikiran serta petah bercakap.

“Anak saya belum menjalani sebarang latihan renang, hari ini baru berjumpa dengan ‘Coach Ang’ dan ditawarkan latihan secara percuma.

“Saya berbesar hati dengan peluang yang diberikan kepada anak saya, saya harap suatu hari nanti beliau juga boleh menempa kejayaan, jika kuat semangat dan bersungguh-sungguh seperti ‘abang’ Muhammad Nur Faris,” jelasnya sambil mengucapkan pemghargaan kepada Pejabat Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam atas penganjuran majlis pertemuan sekalian anggota keluarga bagi kanak-kanak istimewa berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Restoran The TOP @ Komtar yang menyediakan tempat bagi acara pertemuan secara percuma di sini.

Dalam majlis hari ini, turut diraikan ialah keluarga kepada remaja OKU kategori Cerebral Palsy, Muhammad Nafis Raziz, 13.

Turut petah bercakap bahasa kebangsaan dan bahasa Manderin, difahamkan Muhammad Nafis mengalami gangguan tumbuh kembang saraf pada kedua-dua kakinya, walaupun boleh berdiri dan berjalan.

CHONG Eng

Berucap sebelum itu, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu pemberita bahawa tujuan majlis jamuan tengah hari diadakan adalah untuk mempertemu ketiga-tiga keluarga bagi kanak-kanak istimewa berkenaan.

“Golongan OKU juga ada kemampuan untuk mencapai apa yang mereka impikan, mereka juga boleh hidup seperti orang lain sekiranya diberikan sokongan oleh semua pihak.

“Jadi, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mempertemukan tiga keluarga berkenaan, supaya kejayaan ‘abang’ Muhammad Nur Faris boleh memberi inspirasi serta semangat kepada kedua-dua ‘adiknya’ (iaitu) Umar Hafiy dan Muhammad Nafis untuk berjaya juga,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Restoran The TOP @ Komtar menyediakan tempat dan makanan tengah hari di sini tadi.

CHONG Eng (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama tiga keluarga kanak-kanak istimewa berkenaan di sini menjelang tengah hari tadi.