BATU MAUNG – Seramai 38 lagi nelayan yang terkesan dengan pelaksanaan projek Penang South Island (PSI) menerima bantuan serta enjin di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) pada hari ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata pihaknya berharap agar projek PSI akan terus membawa limpahan manfaat kepada nelayan serta keluarga mereka di sini.
“Kerajaan Negeri sentiasa menitikberat dan mengutamakan kebajikan komuniti setempat termasuk masyarakat nelayan di kawasan selatan (pulau) dan akan terus memberikan komitmen sepenuhnya seperti yang dijanjikan melalui pelaksanaan skim SIMP.
“Pelaksanaan SIMP ini juga dilihat selari dengan hasrat Malaysia Madani melalui teras ‘Ihsan’ iaitu belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan,” jelasnya lagi.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, seramai 12 nelayan menerima bantuan pukat menerusi skim SIMP, di samping sumbangan kepada 11 anak nelayan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Tidak setakat itu sahaja, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus bekerjasama dengan empat buah pusat tuisyen dengan membiayai yuran berwajib bagi menjayakan Program Jaya Didik khusus kepada anak-anak nelayan lokal.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol yang juga ADUN Pantai Jerejak; ADUN Bayan Lepas merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd Hafiz Aswad Nadriz; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Bin Darus; Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik & Pengurusan Pihak Berkepentingan bagi Silicon Island Development Sdn. Bhd., Azmi Mohamad; dan Ketua Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Mohamad Kassim Mohamad turut sertai majlis penyampaian sumbangan dan bantuan tersebut di sini pada pagi tadi.
Difahamkan, sebelum ini seramai 31 nelayan lain telah menerima bantuan serupa di bawah skim tersebut sebelum ini.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB