BERTAM – Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan atau ‘Field ICU’ yang siap dibina dekat Hospital Kepala Batas dijangka menerima pesakit bagi rawatan kritikal COVID-19 mulai esok (25 Mei 2021).
Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar pengoperasian hospital ICU Medan tersebut dapat berjalan dengan lancar sebagaimana dirancangkan.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa bersama-sama memberi sumbangan atau kerjasama yang diperlukan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan operasi ICU Medan ini berjalan dengan lancar.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada ATM, KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan semua pihak yang bekerjasama memastikan hospital ini dapat beroperasi dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke ICU Medan dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Panglima Briged Keenam Infantri Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abd. Aziz; Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang, Ir. Dr. Balamurugan.
Walau bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan bahawa segala penambahbaikan kemudahan kesihatan tidak akan dapat menampung jumlah kes COVID-19 yang kian meningkat sekiranya rakyat mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Oleh itu, kita perlu kembali kepada asas iaitu pematuhan SOP, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan peranan masyarakat serta individu adalah jauh lebih penting berbanding pengoperasian hospital ICU Medan.
“Rakyat perlu melihat isu COVID-19 ini secara serius dengan mengamalkan disiplin diri seperti melakukan ‘lockdown’ kendiri sebagaimana yang dinasihati oleh KKM supaya kita dapat melandaikan lengkuk jangkitan.
“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) berharap agar rakyat faham apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan, dan bersama-sama memastikan kes jangkitan dapat dipatahkan dengan pematuhan SOP ditetapkan,” serunya.
Dalam pada itu, Khairul Anuar memberitahu bahawa pihaknya kini berada dalam fasa akhir dan perlu melaksanakan ujian terlebih dahulu bagi memastikan semua isu teknikal dapat diatasi sebelum menerima pesakit.
“Sekarang, kita sedang berada di fasa terakhir dan pada petang ini, kita akan adakan ‘dry run’ sebelum memulakan operasi secara berperingkat mulai esok (Selasa).
“Bagi pihak ATM, saya amat berpuas hati dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Kepala Batas serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan pembinaan hospital ICU Medan ini,” ulasnya.
Difahamkan, ICU Medan berkenaan akan menempatkan 27 katil di dalam tiga kontena dan khemah yang dibina dengan konsep hibrid serta dilengkapi dengan peralatan perubatan diperlukan.
Serentak itu, hospital berkaitan turut akan menempatkan kekuatan tiga pegawai, dua pakar bius serta 50 anggota ATM yang akan bertugas selama 24 jam sehari.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR