GEORGE TOWN – Pulau Pinang melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah menulis surat permohonan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan pada 19 Julai lalu dan juga surat susulan selepas itu, namun masih belum menerima apa-apa kelulusan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini mengambil langkah melaksanakan pengurusan penawaran dan permintaan air strategik bagi menampung keperluan harian.
“Ini termasuk menulis surat permohonan untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan di dua empangan yang turut terjejas di bahagian pulau yang mana paras airnya perlu ditingkatkan.
“Meskipun begitu, sekiranya dilaksanakan di kawasan Sungai Muda, maka ia dapat membantu Pulau Pinang kerana Sungai Muda membekalkan hampir 85 peratus air mentah ke Pulau Pinang.
“Diharapkan operasi pembenihan awan yang dijalankan berjaya dan pelepasan air dapat dilakukan secara berterusan memandangkan kini Sungai Muda berada pada tahap di atas paras kritikal,” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di negeri Kedah terutama di kawasan tadahan air di Ulu Muda akan membantu Pulau Pinang menghadapi impak fenomena cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga September ini.
“Sekiranya Ulu Muda dapat membekalkan air mentah yang mencukupi untuk dilepaskan ke Sungai Muda, maka loji rawatan air (LRA) di negeri ini dapat beroperasi sepenuhnya.
“Di samping itu, kini, kita (Pulau Pinang) juga menggunakan air dari Empangan Mengkuang (Diperbesarkan, EMD) bagi menampung ‘kekurangan air mentah’ di Sungai Muda untuk disalurkan ke LRA Sungai Dua.
“Susulan itu, paras air di Empangan Mengkuang telahpun menyusut sebanyak 10 peratus sejak dua hingga tiga minggu lalu ke paras 87 peratus pada hari ini,’’ jelasnya.
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NURATIKAH RAHMAT