Harap operasi PPV negeri capai kapasiti 100 peratus

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa kapasiti pemberian vaksin harian di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri yang dianggap masih rendah sekitar 70 peratus harus segera ditangani oleh pihak-pihak berkaitan.

Langkah itu, menurut beliau adalah demi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang disasarkan selesai pada bulan Oktober ini berjaya dicapai seperti dirancang.

Chow Kon Yeow menyantuni salah seorang penerima vaksin ketika mengadakan lawatan ke PPV KPJ Penang Specialist Hospital sebentar tadi.

“Katakan, 2,000 (populasi penduduk gagal memenuhi temu janji menerima vaksin) setiap hari, 2,000 itu menjadi kapasiti satu PPV yang besar macam (dekat Dewan Millenium Kepala Batas).

“Ini, merupakan ‘ketirisan’ daripada segi orang untuk mencapai sasaran, perkara ini perlu dilihat macam mana setiap pusat pemberian vaksin dapat memenuhi sasarannya 100 peratus supaya kita dapat menggunakan tenaga dengan sepenuhnya.

“Saya fikir kita perlu memperbaiki lagi aspek ini supaya kita dapat mencapai (sasaran pelaksanaan PICK) pada hujung bulan Oktober (2021),” jelasnya selepas melihat operasi PPV di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini sebentar tadi.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merayu kepada baki kira-kira lebih 400,000 populasi penduduk negeri supaya segera mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

Proses vaksinasi sedang dijalankan oleh kakitangan kesihatan.

“Setakat ini, kita (Pulau Pinang) mencapai 65 peratus telah mendaftar MySejahtera iaitu kira-kira 900,860 orang daripada 1.384 juta populasi yang layak divaksin.

“Jadi, masih lebih 400,000 populasi yang disasarkan itu masih belum mendaftarkan diri.

“(Justeru,) kita perlu meningkatkan kesedaran membawa lebih ramai (populasi) mendaftar diri untuk menerima vaksin supaya imuniti kelompok itu dapat dicapai,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dr. Noraishah Jaafar memberitahu Buletin Mutiara bahawa PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya yang baru beroperasi sejak tiga hari lepas mampu menampung kapasiti harian seramai 600 orang.

Memeliti proses pandaftaran sebelum menerima vaksin.

Namun, menurut beliau, seramai 402 orang telah menerima vaksin pada 14 Jun 2021, manakala 15 Jun 2021 (432).

Oleh hal demikian, Noraishah melahirkan kebimbangan dengan peratusan kehadiran ke PPV yang begitu rendah, iaitu kira-kira 70 peratus.

“Penerima vaksin ada yang tidak semak tarikh temu janji menerusi MySejahtera dan ada juga yang terlepas pandang. Apabila kita cuba menghubungi pihak berkenaan, ada yang memberikan maklum balas bahawa mereka tidak dapat hadir kerana ada di Kuala Lumpur atau di luar daerah,” ujarnya sambil merayu semua pihak supaya cakna dengan masa temu janji yang telah diatur menerusi MySejahtera.

Sebelum itu, Kon Yeow turut mengadakan lawatan ke PPV KPJ Penang Specialist Hospital untuk meninjau proses vaksinasi di PPV Hospital Swasta (PPVHS) berkenaan yang mula beroperasi sejak 7 Jun lalu.

Tuurt serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Polis Daerah IPD Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Penang Specialist Hospital, Zabidi Abdul Razak.

Bersama sebahagian warga emas yang hadir ke PPV untuk divaksinasi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yoew menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memastikan jaminan bekalan vaksin kepada negeri-negeri terutamanya Pulau Pinang adalah mencukupi bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa hanya dengan meningkatkan jumlah rakyat yang divaksin, mampu menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 di negera ini.

“Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memastikan bekalan vaksin sampai ke pusat-pusat pemberian vaksin dengan lancar supaya proses vaksinansi dapat dijalankan.

“Perkara ini penting untuk mempercepatkan peralihan fasa-fasa yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara seperti diumumkan Perdana Menteri semalam,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sehingga 15 Jun lalu, seramai 170,419 atau 12.31 peratus penduduk di negeri ini telah menerima vaksin bagi dos pertama.

Zabidi Abdul Razak.

Sementara itu, Zabidi memberitahu bahawa seramai 1,600 dos vaksin telah diberikan kepada rakyat di negeri ini sejak PPV KPJ Penang Specialist Hospital mula beroperasi pada 7 Jun lalu.

“Setakat ini, program vaksinasi di sini berjalan lancar dengan sasaran kapasiti dos yang diberikan adalah sebanyak 200 dos sehari,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & AHMAD ADIL MUHAMAD