Harap pengundi faham landskap politik baharu – Kon Yeow

Admin

TELUK BAHANG – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow meneruskan siri jerayawara ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong dan DUN Teluk Bahang bagi menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti setempat di kawasan ini.

PENGUNJUNG yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama Chow Kon Yeow dekat sini.

Ketika ditemui, beliau yang juga calon DUN Padang Kota berkata bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini telah membuka satu lembaran era baharu dalam landskap politik negara.

“Saya amat berharap agar para pengundi faham akan perubahan yang berlaku ini dari segi kerjasama ‘Perpaduan’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)

Di Teluk Bahang, khususnya, calon ialah daripada BN dan (para pengundi) perlu memberi sokongan.

“Sokongan kepada BN maka sokongan ke arah mewujudkan kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang ini.

“(Dan) Pulau Pinang akan mempunyai potensi yang lebih baik sekiranya memilih calon serta parti yang sehaluan pada peringkat Persekutuan,” ujarnya.

CHOW Kon Yeow bersama-sama Ahmad Zaki Shah Shah Headan (kiri sekali) menyantuni pengunjung di kedai nasi campur dekat Kuala Sungai Pinang di sini.

Di samping itu, Kon Yeow juga yakin bahawa dengan ‘track record’ PH Pulau Pinang yang baik selama ini mampu memberi kelebihan pada PRN kali ini.

“Saya percaya dengan sokongan yang diberikan ini, untuk tempoh lima tahun akan datang, kita akan terus memastikan Pulau Pinang maju di bawah kerajaan Perpaduan,” katanya usai menyantuni pelanggan bersarapan pagi di Balik Kampung dekat Jalan Kuala Baru di sini pagi ini.

CALON DUN Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan.

Sebelum itu, calon BN bagi DUN Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan mengajak rakyat Pulau Pinang khasnya di Teluk Bahang untuk sama-sama memberi sokongan kepada beliau.

Malah, beliau juga meminta supaya rakyat Pulau Pinang terus memilih calon Perpaduan pada PRN Ke-15 ini.

Jangan lupa, sama-sama kita undi calon Perpaduan pada 12 Ogos ini.

“Pangkah simbol ‘dacing’ bagi Barisan Nasional dan simbol ‘Harapan’ bagi Pakatan Harapan,” serunya.

Bagi calon PH DUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang turut serta dalam jerayawara pagi ini menyeru rakyat Pulau Pinang untuk memilih calon Perpaduan demi mengekalkan prestasi cemerlang sejak 2008.

“Ayuh, kekalkan prestasi cemerlang negeri yang telah dicapai selama ini, ‘Penang Elok Dah’,” katanya.

Turut berucap jalan calon PH DUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang meminta supaya para pengundi menganggap hari Sabtu ini (12 Ogos), Hari Mengundi sebagai ‘Hari Keluarga’ untuk ramai-ramai turun (melaksanakan tanggungjawab) mengundi.

Hadir sama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan veteran BN Teluk Bahang, Dato’ Shah Headan Ayoob Shah Hussain Shah yang memberi sokongan kepada calon di kawasan ini.

Jentera PH – BN kemudiannya merarau (makan tengah hari) di salah sebuah kedai nasi campur istimewa berdekatan Kuala Sungai Pinang sebelum meneruskan jerayawara ke DUN Bayan Lepas pada sebelah petang nanti.

 

PAPAN tanda ‘I ❤️ Pulau Betong’ yang terletak berdekatan pantai Kuala Pulau Betong.

Awal pagi tadi, Kon Yeow bersama-sama jentera PH – BN turut berkesempatan meluangkan masa menyantuni komuniti di Kompleks Makanan Pasar Awam Balik Pulau dan memenuhi pelawaan Mohd. Tuah ke papan tanda kebanggaan ‘I ❤️ Pulau Betong’ berdekatan pantai Kuala Pulau Betong.

Difahamkan, sebanyak RM160,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan pusat aktiviti riadah dan pusat jualan produk peniaga kecil di kawasan berkenaan.