Harap peratusan keluar mengundi melebihi 65 peratus – Kon Yeow

Admin
img 20240706 wa0019

SUNGAI BAKAP – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap melepasi 65 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat pusat mengundi dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara di sini sebentar tadi.

“Sebelum ini, banyak pandangan bahawa peratusan keluar mengundi akan rendah tetapi kita masih mengharapkan ia boleh mencapai 65 peratus ke atas iaitu purata bagi setiap PRK.

“Saya juga berharap agar keadaan cuaca kekal baik sehingga petang supaya dapat mengurangkan gangguan dan ketidakselesaan kepada pengundi untuk keluar beramai-beramai demi menunaikan kewajipan sebagai pengundi,” katanya.

img 20240706 wa0018

img 20240706 wa0014

img 20240706 wa0027

img 20240706 wa0028

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menyatakan bahawa jentera PH bersama-sama Barisan Nasional (BN) telah menjalankan kempen sebaik mungkin bagi memenangi kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Syukur tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini sepanjang kempen berlangsung sehingga ke hari mengundi hari ini.

“(Dan) kita masih menaruh harapan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya mencapai kemenangan pada hari ini,” katanya.

Kon Yeow selepas itu turut melawat beberapa lagi pusat mengundi termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Heng, SMK Tun Syed Sheh Barakbah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD.DAUD