Harap Pesta Pulau Pinang kekal relevan babit semua sektor, Jom Pi Pesta!

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tiga dari kanan) diiringi Ketua Menteri (dua dari kanan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad (kanan sekali) melawat salah satu gerai pameran di Pesta Pulau Pinang, Batu Uban pada 13 Disember 2022.

BATU UBAN – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri menyempurnakan majlis perasmian Pesta Pulau Pinang 2022 pada malam ini.

BORIA Pulau Pinang antara acara pentas yang menarik sempena majlis perasmian pembukaan Pesta Pulau Pinang 2022 di sini pada malam ini.
KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap Pesta Pulau Pinang yang telah masuk edisi ke-54 itu akan kekal relevan untuk semua sektor berkaitan.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pesta Pulau Pinang kekal relevan sebagai platform yang merangkumi aspek perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan fiesta yang cukup sesuai untuk penglibatan seisi keluarga secara menyeluruh, selari dengan hasrat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“(Oleh itu,) Kerajaan Negeri ingin mengajak seluruh warga negeri dan semua pelancong yang ingin berkunjung ke Pulau Pinang untuk bersama-sama menikmati kepelbagaian yang disediakan di sini (Pesta Pulau Pinang),” jelasnya di Dewan Terbuka Tapak Pesta Sungai Nibong di sini pada 13 Disember 2022.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa penganjuran pesta pada kali ini adalah selama 36 hari mulai 26 November lepas hingga 31 Disember 2022, dengan mengekalkan tema ‘Jom Pi Pesta’.

“Setakat 11 Disember (Ahad), seramai 166,150 pengunjung telah mengunjungi Pesta Pulau Pinang dengan kutipan tiket berjumlah RM774,223.00.

“Kita (Kerajaan Negeri) yakin angka ini akan terus meningkat menjelang musim cuti persekolahan kini, sekaligus mencapai sasaran 600,000 pengunjung yang disasarkan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya memperuntukkan hampir RM3 juta bagi tujuan pembaikan lot-lot perniagaan, infrastrukur dan pencahayaan di tapak Pesta Pulau Pinang demi menjamin keselamatan dan keselesaan para pengunjung ke sini.

Buletin Mutiara difahamkan, kesemua 162 lot perniagaan di sini telahpun diisi oleh sekalian usahawan berkaitan baik dari dalam mahupun luar negeri, yang mana para pengunjung berpeluang untuk membeli-belah pelbagai aneka barangan serta pakaian, permaidani, permainan, pameran, gerai makanan, di samping menyertai siri konsert artis-artis popular.

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; barisan Exco dan beberapa ADUN dan Ahli Parlimen merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara perasmian pembukaan pesta tersebut di sini.

Turut serta, Konsul Jeneral Republik Indonesia Ke Pulau Pinang, Bapak Bambang Suharto; Gabenur Provinsi Sumatera Barat, Bapak H.Mahyeldi dan Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS