BUKIT MERTJAM – Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Keenways di sini diharap dapat menyahut seruan kempen ‘Sisa Sifar’ yang baru dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini.
Yang di – Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian semasa merasmikan Kebun Kejiranan ‘Green Ways’ di taman tersebut di sini.
“MPSP berharap Taman Keenways dapat berusaha ke arah mewujudkan ‘Taman Perumahan Sisa Sifar’ suatu hari nanti di mana MPSP hanya perlu melakukan kutipan sampah di taman ini seminggu sekali sahaja.
“Di taman ini sendiri, semua material seperti kertas, botol plastik, tin, aluminium, kotak minuman dan sisa organik lain dapat dikumpulkan dan dikitar semula untuk tujuan pengkomposan, umpamanya,” ujar beliau di depan hampir 50 penduduk setempat.
Setiausaha bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan Tan Seh Bah (Pengerusi KRT Taman Keenways) turut hadir pada majlis itu.
Maimunah berkata, bandar-bandar maju seperti Kawasaki, Jepun sekarang dilaporkan giat melaksanakan aktiviti dan kajian bagi menukar hasil sisa menjadi tenaga yang diperbaharui.
Untuk bergerak ke arah kemajuan itu, katanya lagi, MPSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melalui Kerajaan Negeri telahpun menandatangan satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kawasaki.
“Hasil sisa di sana (Kawasaki) boleh dijana menjadi biogas dan menjana kuasa elektrik.
“Saya berharap, suatu hari nanti, banyak penghuni rumah, khususnya di Taman Keenways ini pun akan mengamalkan sistem ‘sisa dijana jadi tenaga’ ini,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru semua pihak bersama-sama MPSP dalam mengurangkan keterhasilan sisa sampah melalui amalan konsep 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse and Recycle.
Selepas majlis perasmian itu, Maimunah turut dibawa melawat Kebun Kejiranan yang sayur-sayuran serta buahbuahannya ditanam menggunakan baja organik serta baja kompos kendalian sukarelawan KRT Taman Keenways sendiri.