BUKIT TAMBUN – Melindungi bumi dan alam sekitar bukanlah suatu tanggungjawab yang harus digalas oleh seorang individu sebaliknya menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat secara keseluruhannya.
Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Bumi Sedunia 2021 yang dianjurkan oleh Flex System Penang di sini pagi ini.
Menurut Rozali, majlis tersebut diadakan sebagai usaha menghargai bumi, menyemai rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi menjayakan aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Masyarakat khasnya disarankan supaya bersama-sama memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap alam sekitar.
“(Dan) ini termasuk mengamalkan gaya hidup hijau sebagai salah satu usaha dan sumbangan kepada generasi akan datang,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkaitan.
Hadir sama, Naib Presiden Bahagian Operasi Flex System Penang, P. Viswanathan; Pengarah Perhutanan Negeri, Muhammad Ezhar Yusur serta barisan pengurusan kilang tersebut.
Dalam majlis sama, Rozali turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada pihak pengurusan Flex System Penang atas penglibatan dan sokongan padu yang diberikan selama ini.
“Sebelum ini, Flex System Penang banyak menganjurkan aktiviti dan program bersama-sama MBSP antaranya Anugerah Komuniti Mampan, pertandingan Halaman Rumah Bersih serta program-program kitar semula dan pembersihan sungai di Seberang Perai ini.
“Malah, mereka (Flex System Penang) sentiasa komited untuk menjayakan sambutan Hari Bumi setiap tahun dan secara tidak langsung menggambarkan semangat warga kerja Flex System Penang yang cintakan kehijauan bumi serta kesejahteraan alam sekitar,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL Gambar : J. PATMAVATHY