Hargai peranan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), siap-siaga hadapi gangguan bekalan air

51824791 adf6 45a3 87d5 f40646462644

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri lazimnya tidak pernah gagal dalam menyalurkan sumbangan bantuan kepada setiap Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini demi melicinkan segala urusan termasuk pembelian peralatan diperlukan.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sumbangan berkaitan adalah sebagai penghargaan kepada semua PBS negeri ini yang sentiasa komited dan bersiap-siaga dalam membantu seluruh komuniti di Pulau Pinang.

 

 

“Saya dapat lihat kesiapsiagaan PBS yang telah bersedia apabila Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan kerja-kerja penyelenggaraan menggantikan injap paip 1,200 milimeter di Loji Rawan Air (LRA) Sungai Dua Seberang Perai Utara (SPU) sebelum ini.

 

 

“Lebih-lebih lagi (persediaan berkaitan) adalah selepas kejadian tidak diduga melibatkan kebocoran paip di Sungai Perai yang telah menyebabkan gangguan bekalan air di negeri ini yang mana memperuntukkan komitmen serta sumber tenaga daripada PBS.

 

 

“Justeru, pada Rabu (10 Januari 2024), kita sekali lagi akan bekerja bersama menghadapi gangguan bekalan air ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Lori Bomba Serbaguna Pasukan Bomba Sukarela Kuala Sungai Pinang  dekat Kompleks Pasar Awam Balik Pulau di sini petang tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri Gooi Seong Kin; Pengarah Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, Ewe Chee Way; Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi; Penasihat Bomba Sukarela Kuala Sungai Pinang, Datuk Lim Ah Lai @ Lim Choo Lai; Pengerusi PBS Kuala Sungai Pinang, Kiong Chan Kyam dan wakil-wakil PBS dari kawasan-kawasan lain.

 

 

Dalam pada itu, Seong Kin menyatakan bahawa Ketua Menteri turut menyampaikan 12 tangki berkapasiti 500 gelen bagi kegunaan penduduk sekitar Balik Pulau bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual pada 10 hingga 14 Januari ini.

 

900537fa e445 4ca9 9289 11bc8c18bcad
“Tangki-tangki tersebut akan diuruskan oleh PBS bagi membantu menyalurkan bekalan air terawat di kawasan Balik Pulau,” ujarnya.

 

 

Difahamkan, Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 untuk membantu PBS Kuala Sungai Pinang membeli sebuah Jentera Lori Jepun bertangki 900 liter, sebuah Lori Serbaguna 4,500 liter dan sebuah kenderaan pacuan empat roda 4×4 Ford Ranger dengan kapasiti tampungan 1,000 liter untuk memudahkan usaha menyampaikan khidmat bakti kepada penduduk di kawasan ini dengan lebih efektif.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR