Hargai sokongan berterusan komuniti India Muslim

Admin

GEORGE TOWN – Sokongan berterusan daripada persatuan-persatuan India Muslim di negeri ini yang bergerak seiringan bersama-sama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam memastikan pembangunan menyeluruh adalah amat dihargai.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada sesi pertemuan bersama-sama Gabungan Persatuan India Muslim (GAPEIM)  Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

 

Menurut beliau, bukan Kerajaan Negeri sahaja malah beliau sendiri secara peribadi amat menghargai sokongan yang diberikan dan sentiasa meletakkan kepentingan semua rakyat Pulau Pinang termasuk komuniti India Muslim di negeri ini sebagai keutamaan.

 

Walaupun berdepan dengan cabaran semasa dan masa depan yang masih belum ada kepastian, kita (Kerajaan Negeri) tidak akan berhenti, kita akan meneruskan hasrat untuk memastikan kemajuan pembangunan yang menyeluruh.

 

“Kini, barisan pimpinan baru akan meneruskan segala perancangan dan perjalanan projek (pembangunan) yang telah dimulakan sebelum ini dan saya sendiri berharap dapat memberi sesuatu yang bermakna kepada semua rakyat Pulau Pinang termasuk komuniti India Muslim di sini,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Presiden GAPEIM, Dr. Ameenul Hussaini Abdul Kadir menzahirkan ucapan tahniah kepada Kon Yeow atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 baru-baru ini dan dilantik semula menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri.

 

“Bagi pihak GAPEIM, kami akan meneruskan sokongan terhadap YAB dan meneruskan usaha membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

 

Pada pertemuan selama 75 minit itu, selain membangkitkan isu berkaitan kepentingan dan pemerkasaan komuniti India Muslim Pulau Pinang, turut diutarakan adalah isu berkaitan pembekalan rumah mampu milik, kebajikan, isu-isu tempatan, isu kuota dan status Bumiputera serta keperluan sebidang tanah untuk pembangunan dewan serba guna komuniti India Muslim.

 

Terdahulu, Kon Yeow menerima kalungan bunga malai dan kain ‘ponnadai’ daripada Ameenul Hussaini sebagai tanda penghormatan serta buku aktiviti tahunan khas terbitan GAPEIM.

 

Hadir sama, Setiausaha Kehormat GAPEIM, Hamid Sultan Jabbar; Ahli Jawatankuasa GAPEIM, Mohamed Rizwan serta beberapa Ahli-ahli Gabungan GAPEIM antaranya Persatuan Kebajikan Nur; Persatuan Kebajikan Tanjung (Pelita); Pertubuhan Keprihatinan Masyarakat Pulau Pinang dan Tamil Muslim Madrasah Teluk Bahang.

 

GAPEIM ditubuhkan pada tahun 2018 dan mempunyai 14 Ahli Gabungan yang menjadi nadi penghubung dalam membantu dan memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini merangkumi aspek sosio ekonomi, kebajikan, pendidikan dan peluang perniagaan.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN