Hargai sumbangan pemegang taruh makmurkan ekonomi negeri

Admin
CHOW Kon Yeow

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri Caretaker, Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus menghargai sumbangan semua pemegang taruh dalam memakmurkan ekonomi negeri serta mesejahterakan kehidupan rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang.

Mantan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Pulau Pinang di sini pada 14 Julai 2023.

“Terima kasih atas sokongan selama ini, selepas ini kita akan terus memacu pembangunan negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

PARA tetamu jemputan REHDA turut mencuri peluang berswafoto dengan Chow Kon Yeow dalam majlis berkaitan di sini tadi.
JAGDEEP Singh Deo

Sebelum itu, ‘Caretaker’ Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyatakan bahawa semua pemegang taruh dalam REHDA Pulau Pinang selama ini memainkan peranan penting dalam membantu Kerajaan Negeri membekalkan Rumah Mampu Milik (RMM).

Dengan status parti pemerintah peringkat Kerajaan Persekutuan yang sama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sejak bulan November tahun lepas, menurut beliau telah membolehkan pelbagai agenda pembangunan negeri lebih mudah dilaksanakan mengikut perancangan bersama.

“Kita boleh melakukan lebih baik kerana kita ada Kerajaan Persekutuan bersama-sama kita.

“Kita boleh… kita akan terus berusaha untuk membantu para pemegang taruh dalam kalangan para pemaju untuk bersama-sama membekalkan cukup rumah mampu milik di negeri ini,” ujarnya yang juga mantan ADUN Datuk Keramat di depan hampir 600 tetamu jemputan REHDA.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN