Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi, wadah perkongsian perkhidmatan demi sejahterakan rakyat

Admin
whatsapp image 2024 06 09 at 14.53.37

JAWI – Penganjuran program Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi 2024 merupakan wadah perkongsian terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan serta agensi-agensi kerajaan dan swasta berterusan kepada rakyat khasnya di kawasan Seberang Perai Selatan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata, program seumpama itu memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat setempat.

 

Program sebegini adalah bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

 

“Semoga program ini dapat membantu bukan sahaja pihak kerajaan (dan swasta) dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan efisien bahkan mampu mensejahterakan rakyat,” ujarnya pada majlis berkaitan yang diadakan di Pasar Raya C-Mart Nibong Tebal dekat sini pada 9 Jun 2024.

whatsapp image 2024 06 09 at 14.53.27
H’NG Mooi Lye (berdiri, berkemeja putih) ketika hadir menyempurnakan pembukaan Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi 2024 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai serta wakil jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) KADUN Jawi.

 

Di samping itu, Mooi Lye yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa berharap agar perkhidmatan yang disampaikan melalui penganjuran program tersebut dapat memberi nilai tambah secara menyeluruh kepada masyarakat setempat.

 

Difahamkan, pada program sama, Mooi Lye turut menaja caj perkhidmatan bantuan guaman dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Pulau Pinang kepada 30 orang terawal. Sebanyak 27 jabatan, agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam program sehari di sini.