BERTAM – Edisi ketiga, Hari Buletin 3.0 yang berlangsung di Taman Vision diharap akan terus mengeratkan hubungan antara pemimpin Kerajaan Negeri dan rakyat tempatan sekitar Pulau Pinang terutama di Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran kali ketiga Hari Buletin oleh Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri berkaitan adalah kesinambungan daripada dua kali penganjuran sebelum ini di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya (BD).
“Penganjuran Hari Buletin sebagai acara tahunan akan menjelajah ke seluruh negeri Pulau Pinang sebagai satu platform interaksi seisi keluarga, dan pada masa sama mengeratkan hubungan rakyat serta Kerajaan Negeri.
“Jalinan usaha ini akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat secara umumnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di sini pada 17 November 2024.
Sejak Buletin Mutiara diwujudkan pada tahun 2010, Kon Yeow memberitahu bahawa ia bukan sahaja menjadi media penerangan ramai Kerajaan Negeri bagi isu-isu semasa, malah wadah kepada rakyat supaya cakna dengan usaha serta dasar-dasar Kerajaan Negeri hari ini ke arah meningkatkan sosial-ekonomi penduduk negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa Pegawai Daerah turut sertai majlis tersebut.
Peraduan mewarna, peraduan melukis, pertandingan reka bentuk kraftangan, pertandingan pakaian beragam, pertandingan pertunjukan bakat, pertandingan kucing bergaya, ‘Buletin 3.0 Olimpik’ dan pameran agensi-agensi kerajaan antara acara menarik yang melibatkan penduduk setempat pada hari ini.
Temui Hari Buletin 4.0 yang dijadualkan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada tahun hadapan!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SITI NURATIKAH RAHMAT