Hari Buletin platform seisi keluarga, akan dianjurkan ke seluruh Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama tiga lain semasa acara perasmian Hari Buletin 2.0 di Balik Pulau pada petang tadi.

PULAU BETONG – Hari Buletin 2.0 yang dianjurkan di Kompleks Sukan Balik Pulau sejak pagi tadi akan dibawa ke seluruh pelusuk negeri ini, kata Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa pentadbirannya berharap acara seumpama itu dapat menjadi satu lagi platform interaksi seisi keluarga di samping mengeratkan hubungan antara rakyat dengan Kerajaan Negeri hari ini.

“Adalah menjadi etika serta pegangan Buletin Mutiara untuk hanya melaporkan berita-berita benar tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Dengan ini, penerbitan ini kini terus gah menjadi akhbar pilihan yang diterbit siar oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan secara tidak langsung penganjuran Hari Buletin ini adalah manifestasi penerimaan rakyat Pulau Pinang terhadap sidang redaksi ini,” jelasnya semasa berucap dalam majlis perasmian penutup tersebut di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini pada 25 Jun 2023.

Turut serta, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan barisan ketua-ketua jabatan negeri juga Persekutuan.

KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama tiga lain semasa acara perasmian Hari Buletin 2.0 dekat Balik Pulau di sini pada petang tadi.

Difahamkan, program seharian sejak pagi tadi adalah susulan penganjuran Hari Buletin 1.0 di di Taman Tangling dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun pada 18 Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa menjelang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang kian kunjung tiba, semua pihak seharusnya menyaring berita yang dilayari serta dibaca supaya benar-benar daripada sumber yang sahih.

“Menerusi peredaran masa dan perkembangan teknologi, kita sering kali terdengar mengenai fakta-fakta berita yang disensasikan tanpa dibuktikan kesahihannya.

“Malah, ada juga (sesetengah pihak) begitu fanatik dengan laman-laman sosial yang menyiarkan liputan-liputan berita sebegitu rupa (sensasi tanpa dibuktikan kesahihannya),” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau berkata kadang kala berita sensasi yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya tersebut menimbulkan salah faham, menyentuh isu-isu perkauman hatta menyumbang pada perpecahan keharmonian rakyat di Pulau Pinang.

Pertandingan melukis, menyanyi, mewarna, pakaian beragam, grafiti, sukaneka keluarga; gerai jualan serta pameran agensi-agensi kerajaan merupakan antara acara menarik sejak pagi tadi di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING