GEORGE TOWN – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pulau Pinang diraikan dengan penuh kemeriahan dengan berlangsungnya perbarisan serta perarakan dan juga masyarakat umum yang membanjiri Padang Kota Lama di sini pagi ini.
Ketibaan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang serta isteri dan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri.
Beliau kemudian menyempurnakan pemeriksaan perbarisan dan disusuli dengan acara menaikkan bendera Jalur Gemilang serta Nyanyian lagu Negaraku.
Difahamkan, sebanyak 84 penyertaan dengan 4,900 peserta mengambil bahagian dalam perbarisan berkaitan membabitkan pelbagai jabatan serta agensi badan berkanun negeri dan Persekutuan serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Di samping itu, bagi kontinjen kenderaan adalah membabitkan 26 penyertaan dengan penglibatan 802 peserta beserta 674 buah kenderaan menjadikan keseluruhan kontinjen pada tahun ini adalah berjumlah 5,702 peserta.
Majlis turut diserikan dengan persembahan koir dan gendang dari Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Tarian Bendera Kita dari Majlis Kebudayaan Negeri serta pelajar Politeknik Seberang Perai.
Turut terlibat adalah persembahan Pancaragam Enam Melayu dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja. Turut memperoleh perhatian adalah dua kenderaan Perisai GEMPITA 8×8.
Di ruang udara, formasi pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menggegarkan sambutan perbarisan yang mana tahun-tahun sebelum ini terpaksa dihentikan ekoran pandemik COVID-19.
Turut hadir, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri serta Persekutuan, barisan jemputan khas dan ramai lagi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD