Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2018 catat sejarah, diraikan penuh gemilang

Admin

GEORGE TOWN – Acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri Pulau Pinang diraikan dengan penuh sejarah serta gilang-gemilang.

Sambutan tahun ini mencatatkan sejarah kerana ia signifikan meraikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang kini seiring di bawah teraju pentadbiran baharu, Pakatan Harapan (PH).

Sambutan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ tersebut dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Sejurus kemudian, berlangsungnya acara menaikkan bendera serta nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita (Pulau Pinang).

Majlis disusuli dengan perbarisan dan perarakan masuk 110 kontinjen berjalan kaki dan 14 kontinjen berkenderaan di sepanjang laluan Lebuh Light seawal jam 9 pagi di sini.

Penganjuran tahun ini turut mencipta rekod apabila menerima bilangan peserta kawad terbanyak dengan jumlah keseluruhan 8,300 peserta.

Turut menyerikan majlis, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Hadir sama, barisan Exco-exco, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen (MP) dan ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri.

Kemeriahan sambutan berkenaan disaksikan lebih 5,000 pengunjung berbilang bangsa serta peringkat umur termasuk pelancong asing.

Antara pertunjukan yang dipersembahkan ialah nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak Kemerdekaan, tarian dan persembahan udara jet pejuang.