GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui agensinya Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan menganjurkan Hari Keluarga ❤️PENANG 2023 pada 11 Jun ini di Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya dengan tema ‘Bangkit Bersama ❤️Penang: Selamat, Cekal, Memupuk’
Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap acara tersebut dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan di samping merapatkan jurang antara generasi dalam kalangan keluarga dan komuniti.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong penyediaan persekitaran yang selamat untuk keluarga serta membantu keluarga agar lebih cekal dan bangkit daripada situasi yang sukar serta memupuk kasih sayang antara semua ahli keluarga sekali gus mewujudkan sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan makmur,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini pada 12 Mei 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik di sebalik penganjuran acara ini antaranya Women’s Centre for Change Penang (WCC), The Learning Kingdom Education, Adventist Hospital, Rose Charity, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bercakap pada sidang media sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng menyatakan bahawa PWDC kali ini akan menganjurkan acara sukaneka sempena sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri, yang mana menyasarkan penyertaan maksimum 240 keluarga atau kumpulan yang terdiri daripada lima orang (setiap satu kumpulan) serta tidak terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah.
“Setiap kumpulan mestilah terdiri daripada seorang dalam lingkungan umur lima tahun hingga 12 tahun; 50 tahun dan ke atas (1) dan tanpa mengira umur (3).
“Tujuan syarat-syarat bagi penyertaan sukaneka ini adalah Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menggalakkan penyertaan antara-generasi terutamanya penglibatan warga emas dalam aktiviti sosial selaras dengan konsep penuaan aktif sedang diperjuangkan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang sambil memberitahu bahawa yuran pendaftaran kumpulan hanya RM75 sahaja.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng pula memberitahu bahawa pendaftaran boleh dibuat menerusi imbasan kod QR pada poster rasmi Hari Keluarga ❤️PENANG 2023 ataupun melalui pautan http://shorturl.at/abjqr.
Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang juga Ahli Lembaga Pengarah PWDC; Pengarah Program WCC, Karen Lai; Ketua Bahagian Pentadbiran The Learning Kingdom Education, Siauw Wen-Ti; Pengerusi Rose Charity, Dato’ Lawrence Cheah; General Counsel APAC Pexus, Samantha Ooi; Pengurus Kanan Pengurusan Manusia ViTrox Technologies Sdn. Bhd., Pengurus Kanan Pemasaran Penang Adventist Hospital, Caleb Lim; Pengurus Kesihatan Malaysia Penang Adventist Hospital, Lee Ya Hui; Pengurus Acara Kebangsaan Sanquick Malaysia, Thirumumaren Rangasamy; Pengarah Pemasaean dan Komunikasi The Prestige Hotel, Nur Izzatu Abdul Malik dan Pengurus Kanan Operasi Serantau Bank OCBC Cawangan Pulau Pinang, Ang Choon Keat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI