Hari Pembersihan Dunia, selari hasrat ke arah Pulau Pinang bersih, hijau dan sihat

Admin
8a636cec 206d 413b 9094 9d5b14bbd201

GEORGE TOWN – Bersempena Hari Pembersihan Dunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024, seramai 7,000 pelajar dari 66 sekolah bersama-sama berganding bahu menjayakan program tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran majlis pada pagi ini adalah selari dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau dan sihat selain memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

“Dengan penglibatan komuniti, sektor kerajaan, badan korporat dan sukarelawan, program ini diharap dapat mewujudkan kesan penjagaan alam sekitar yang berkekalan serta mampan di Pulau Pinang.

“Ini adalah selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya pada majlis berkaitan di sini.

Yang Dipertua Negeri, (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir merasmikan dan membuat pelepasan kira-kira 200 pelajar yang berperanan menjalankan kerja-kerja pembersihan di Padang Kota Lama.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rejendran; Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW), Khou Jerome dan barisan guru dan pelajar-pelajar terlibat.

Difahamkan, bersempena penganjuran berkaitan, kerja-kerja pembersihan adalah meliputi 36 lokasi berbeza seperti di jalan raya, pantai, sungai dan sekitar sekolah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow  menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang telah lama berada di barisan hadapan dalam kelestarian alam sekitar di Malaysia, berpandukan prinsip hijau yang termaktub dalam Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 (PGA 2030).

9be712cc 505a 401a 9d9e e98cceaf3af7

“Sejak itu, dasar serta inisiatif negeri kita senantiasa menekankan kepentingan memelihara warisan semulajadi sambil menggalakkan pembangunan mampan.

 

“Baru-baru ini juga, saya membaca artikel terbitan Op-Ed yang berkaitan dengan dasar pengurusan sisa Pulau Pinang, dan saya amat berbangga dengan pencapaian kita sebagai negeri yang poaktif dan inovatif dalam dasar pembaziran yang kini telah menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain di Malaysia.

“Prestasi ini adalah sangat bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengarusperdanakan kelestarian dari segi alam sekitar, ekonomi serta sosial dalam perancangan pembangunan negeri secara keseluruhan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyifatkan bahawa kepimpinan Ahmad Fuzi adalah melalui teladan berkenaan alam sekitar berikutan projek penanaman sejuta pokok pada April lalu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ALISSALA THIAN