BUKIT TAMBUN – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menyifatkan bahawa penganjuran Hari Sukan Negara yang diadakan saban tahun dapat memartabatkan lagi penglibatan rakyat dalam bidang sukan.
Menurut beliau, sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di perkarangan Stadium Batu Kawan dekat sini pada 14 Oktober lalu, merupakan salah satu agenda kerajaan bagi merealisasikan sasaran Visi Sukan Negara 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Sukan.
“Malah, sambutan sebegini berupaya menjadi sumber inspirasi terhadap seluruh warga negeri untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Justeru, saya berharap Hari Sukan Negara yang disambut ini dapat dijadikan medium untuk mencungkil minat anak-anak muda dalam bidang ini sekali gus menyumbang terhadap perkembangan sukan di negeri ini,” ujarnya semasa merasmikan acara berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim; Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU), Noor Farizan Jaafar; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.
Mengguna tanda pagar, #FitMalaysia dan #HSN2023 penganjuran Hari Sukan Negara ini, jelas Zi Sen, membuktikan bahawa kerajaan sangat komited dalam menitikberatkan gerakan ke arah membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya juga berharap semua individu berkomitmen tinggi untuk hidup lebih sihat, aktif, dan berdaya saing,” katanya.
Difahamkan, antara acara menarik dianjurkan pada sambutan kali ini termasuk larian sejauh 10 kilometer, aerobikhton; ‘woodball’; ‘skipping’; timbang bola takraw; bola jaring dan banyak lagi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI